SelangorToday

EL-NINO MAKIN EKSTREM, SUHU MENINGKAT SERTA TABURAN HUJAN BERKURANG DI MALAYSIA

Keadaan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah taburan hujan di seluruh negara pada tahun ini akan menjadikan fenomena El Nino lebih ekstrem. Ia susulan daripada faktor pemanasan global yang dihadapi dunia pada masa ini kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad. Jelas beliau, lazimnya El Nino yang berintensiti kuat akan memberi impak signifikan terhadap corak cuaca negara terutamanya ketika fasa akhir monsun timur laut dan musim selepasnya.

Beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN menambah bagi menghadapi fenomena El Nino, kementeriannya bersiap siaga lebih awal iaitu beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Bil.1 Tahun 2023 pada 26 Mei 2023 dan Bil. 2 pada 12 Sept 2023. Nik Nazmi terus menambah, mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk melaporkan status terkini keadaan cuaca, tinjauan cuaca, status kualiti udara, merancang tindakan dan strategi bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu setempat di samping mengatur persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya jerebu merentas sempadan.

Kemudian, Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata langkah proaktif turut dilaksanakan antaranya pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan memperkasa pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P). untuk rekod fenomena El Nino dapat dilihat seperti yang pernah berlaku pada 1997 hingga 1998 dan 2015 hingga 2016.- SelangorToday

Exit mobile version