SelangorToday

ENAKMEN JENAYAH SYARIAH NEGERI DIPINDA, PERINCIAN DIBENTANG DALAM SIDANG DUN – ZAWAWI

Enakmen Jenayah Syariah Selangor berkaitan kesalahan dan hukuman sedang dalam proses pindaan serta penambahbaikan, kata EXCO agama Islam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata bakal dipinda juga Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor iaitu undang-undang yang menjadi panduan dalam proses membawa kes-kes jenayah syariah ke mahkamah.

“Kita sentiasa menggubal dan meminda enakmen sedia ada mengikut keadaan semasa. Bagi kedua-dua enakmen ini ada beberapa perkara dilihat bertindan dengan akta dan undang-undang persekutuan.

“Ada beberapa bengkel dan seminar dijalankan dalam sesi sumbang saran oleh jabatan pendakwaan untuk mengenal pasti ruang-ruang enakmen yang perlu ditambah atau dibuang.

“Perubahan dilakukan termasuk hukuman, yang mana batasan untuk enakmen ini terhad tetapi kalau sudah 20 tahun hukumannya dianggap sangat ringan dan masyarakat tidak kisah dengan hukuman dikenakan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Perundangan Jenayah Syariah bertemakan Evolusi Perundangan Jenayah Syariah Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini.

Tambah Mohd Zawawi, setakat ini pindaan masih dalam proses semakan dan penelitian semula kerana melibatkan beberapa pihak.

“Kita jangka kita selesai semua pindaan boleh dibawa ke sidang dewan undangan negeri hujung tahun ini,” katanya.

Pada tahun lepas, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor memaklumkan pihaknya dalam proses meminda enakmen jenayah syariah bagi membolehkan penguatkuasaan dan hukuman terhadap pesalah lebih berat.

Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassin berkata enakmen jenayah itu perlu disemak semula kerana ia masih mengikut undang-undang lama iaitu pada 1995.

Exit mobile version