Ada yang berpandangan, kepimpinan Hj Abdul Hadi Awang sejak 2003 di dalam PAS telah membawa PAS kepada satu kegemilangan yang amat besar. Para penyokong dan ahli PAS menganggap inilah masanya Islam tertegak dengan penguasaan jumlah kerusi terbanyak di Parlimen serta menguasai 4 negeri. Namun adakah itu pengukur sebenar kepimpinan PAS? Atau sebenarnya banyak angkubah lain yang perlu diteliti bagi melihat apakah PAS benar-benar cemerlang.
Mari kita buat perbandingan antara era Hj Abdul Hadi dengan 3 Presiden atau Yang Dipertua PAS sebelumnya memimpin PAS serta seorang Mursyidul AM PAS yang dianggap sebagai tokoh politik Islam sebenar di Malaysia dan nusantara.
Ustaz Fadzil Mohd Noor(1989-2002)
Ustaz Fadzil Noor merupakan pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) yang disuntik menyertai PAS bagi mengukuhkan semula kedudukan PAS dalam politik. Jika beliau merupakan mantan Timbalan Presiden ABIM, Hj Abdul Hadi pula merupakan pemimpin ABIM cawangan Terengganu. Mereka berdua antara tenaga muda yang diarahkan untuk memperkuatkan semula PAS setelah ditendang keluar daripada Barisan Nasional(BN).
Ketika era Ustaz Fadzil, PAS seakan-akan merubah kompas politiknya yang menekankan kepada isu-isu Islam semata-mata kepada meneroka isu massa dari perspektif Islam. PAS era ini menemui puncak kepercayaan masyarakat yang amat tinggi. Baik dari isu kezaliman daripada undang-undang ISA kepada isu prestasi ekonomi kerajaan, PAS memimpin kepekaan rakyat dengan baik.
Hasilnya PAS mendapat sokongan melayu Islam moderat serta bukan Islam. Meskipun memenangi 27 buah kerusi di Dewan Rakyat, PAS mengemudi pembangkang dengan membawa isu yang dekat dengan nadi rakyat. Suara PAS ketika itu adalah suara rakyat marhaen yang tulus. Barisan pembangkang yang berhujah di Parlimen mempunyai fakta yang padat dan kuat menyebabkan kerajaan gentar berhadapan dengan mereka. Kesepaduan pimpinan PAS yang diketuai Ahli Parlimen Pendang itu memperlihatkan kesediaan PAS sebagai alternatif kepada UMNO dan BN.
Berbeza dengan keadaanya setelah PAS memenangi jumlah kerusi yang besar pada PRU lalu. Ahli Parlimen yang dibariskan untuk menggempur kerajaan MADANI sering melepasi batas sebagai seorang wakil rakyat yang berwibawa. Fakta yang dikemukakan tidak bersandarkan sumber yang sah atau asli, sebarang serangan tidak diiringi dengan cadangan yang boleh dijadikan sandaran rakyat melihat keupayaan PAS hari ini.
Ratib mereka hanyalah sentimen yang berunsur kaum dan agama yang selalunya tidak ada langsung kaitan dengan aturan mesyuarat yang telah ditetapkan. Akhirnya Dewan menjadi gegak gempita sama seperti tahun 1999 tetapi dengan sebab yang remeh dan membuang masa. Berapa YB PAS era Ustaz Fadzil yang dihukum keluar dewan kerana mengemukakan fakta yang salah atau dakwaan yang mengaibkan?
Disini kita dapat melihat betapa ruginya peluang yang telah diperoleh oleh PAS dengan jumlah YB yang ramai tetapi gagal menjadi suara rakyat yang mengetengahkan isu sebenar rakyat serta mendapat kepercayaan rakyat. Justeru PAS selesa dengan meletakkan diri dikedudukan terendah ketika ini.
Dato Asri Muda(1962-1982)
PAS era Dato Asri Muda dianggap panas dan punyai kontroversinya yang tersendiri. Walau terpalit dengan pelbagai dakwaan, PAS era Dato Asri telah berjaya meletakkan imej PAS sebagai parti politik arus perdana pasca merdeka. Sikap terbuka PAS menerima pelawaan Tun Abdul Razak menyertai kerajaan serta membentuk Barisan Nasional merupakan satu tekad politik yang bernas buat ketika itu.
Justeru kedudukan PAS dalam kerajaan wajar diperhatikan untuk melihat sejauh mana PAS mampu menterjemahkan nilai Islam dalam pentadbiran. PAS hanya diberikan ruang sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-Tugas Khas dan beberapa timbalan menteri di kementerian persekutuan.
Namun begitu, mengikut rekod banyak usaha Islamisasi yang berjaya diangkat oleh PAS pimpinan Ahli Parlimen Kota Bharu Hulu itu ketika bersama kerajaan. Antaranya berjaya menghapuskan amalan hidangan arak dalam upacara rasmi kerajaan, pegawai-pegawai agama ditempatkan di semua agensi kerajaan termasuk di tanah rancangan FELDA serta kedudukan mahkamah syariah seluruh negeri diselaraskan selain penubuhan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan(JAWI).
Jelas, peranan PAS dalam kerajaan bermakna dan mempunyai kesan jangka panjang yang dapat dihidu hari ini. Namun keberadaan PAS era Hj Abdul Hadi di dalam kerajaan 33 bulan tidak mempunyai sebarang dasar signifikan yang memperlihatkan keberuntungan Islam setelah PAS dalam kerajaan.
Lebih mengejutkan, jumlah cabutan judi yang diturunkan semasa AMANAH sebagai parti Islam yang menjadi sebahagian kerajaan persekutuan kepada 8 dinaikkan semula oleh kerajaan yang dianggotai oleh PAS kepada 22. Cita-cita PAS yang menjadi perkelahian dengan DAP iaitu Rang Undang-Undang 355 juga gagal direalisasikan semasa PAS menjadi kerajaan, sedang RUU yang dikemukakan oleh kerajaan berpeluang untuk dibentangkan dan diluluskan dengan cepat.
Keberadaan PAS era Hj Abdul Hadi tidak memberikan perbezaaan ketara dengan pemerintahan PH dan BN sebelum itu. Malah PAS yang beraspirasikan Islam secara total tidak berimpak berbanding PAS era Dato Asri yang membawa kepimpinan Islam Nasionalis. Peluang PAS dilepaskan begitu sahaja walaupun era Hj Abdul Hadi dianggap membanggakan.
Hj Yusof Ar-Rawa(1982-1989)
Dalam keadaan PAS berkrisis, Hj Yusof Rawa dipilih memimpin PAS, dalam keadaan yang sangat meruncing kepimpinan PAS ketika itu sangat tegas bagi mengelakkan sebarang perpecahan yang lebih mendalam. Justeru bibit-bibit yang menjadi punca perpecahan disingkirkan segara. Keputusan tersebut telah menyingkirkan Dato Asri dan penyokongnya. Pun begitu, PAS terus bermaya dan bangkit dari sebarang krisis lama yang melemahkan. Hj Yusof Rawa berjaya membawa PAS bangun semula setelah barah yang boleh merosakkan PAS dirawat dan disingkirkan lebih awal.
Maka beza dengan Hj Abdul Hadi yang sudah terang menyedari hakikat bahawa kelompok agamawan muda dalam PAS mempunyai pergerakan untuk menolak secara total pimpinan PAS yang progresif serta mengangkat nilai sejagat sebagai agenda PAS. Keputusan Hj Abdul Hadi membiarkan usaha ini terus berjalan, sehingga wujudnya permainan politik yang menyingkirkan semua golongan moderat dalam PAS. Kesannya PAS terbahagi kepada dua kelompok lalu tertubuhnya AMANAH.
Larangan Ustaz Fadzil untuk tidak menubuhkan banyak gerakan Islam tidak mampu dibuat kerana kelemahan kepimpinan Hj Abdul Hadi yang tidak mengawal amalan perpuakan ini dari awal.
Hj Yusof Rawa yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Star Selatan itu juga memperlihatkan sikap negarawannya apabila membantah pindaan Perlembagaan 1983 melibatkan Raja-Raja Melayu. Apa pun rasionalnya pindaan tersebut, Yang Dipertua PAS yang pernah mengalahkan Tun Mahahthir era 60an dahulu telah berjaya menterjemahkan nilai Islam yang taat dan hormat akan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam.
Ini berbeza dengan keadaan PAS era Hj Abdul Hadi apabila ramai pimpinan PAS yang kerap kali menerima teguran daripada Istana atas keceluparan mereka sehingga menyebabkan Institusi Raja tidak dihormati. Hj Abdul Hadi sendiri telah menghantar warkah permohonan maaf kepada Sultan Selangor atas tindakannya itu. PAS era bekas Duta Timur Tengah tahun 2022 itu gagal mengangkat nilai kehormatan kepada umarak sebagai lambang agama Islam di Malaysia, malah PAS pada tahun 2015 dilihat berpecah kerana rendahkan kepimpinan hari tu bersikap sebagai bapa yang merawat luka perbezaan pandangan secara tuntas dan bernas.
Tok Guru Nik Abdul Aziz(1995-2015)
Menyentuh soal Mursyidul AM PAS yang berkhidmat paling lama ini, Tok Guru Nik Aziz jelas memaparkan kewibawaannya semasa menjadi Menteri Besar Kelantan. Meskipun ditinggalkan oleh Parti Melayu Semangat 46 tahun 1995, PAS dibawah Tok guru berjaya mempertahankan Kelantan atas faktor hikmah dan ketokohan Tok guru sendiri.
Selepas perginya Ustaz Fadzil, memainkan peranan PAS diperingkat massa dirujuk dan dibimbing oleh Tok guru. Dari situ, Tok guru menjadi imej utama politik Islam yang berpengaruh. Merentas bukan Islam, PAS diangkat sebagai role model politik Islam yang rahmah serta mencerahkan umat.
Berpusu-pusu pemimpin dan tokoh agama bukan Islam mengunjungi bekas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa serta kepimpinan PAS bagi merintis kerjasama kaum yang lebih harmoni bersama PAS. Politik Tok guru melembutkan, bukan mengeraskan. Dakwah Tok guru mencerahkan bukan menjahilkan.
Begitulah bezanya dengan politik PAS hari ini. PAS hari ini memilih jalan keras yang bukan sahaja tidak mampu memahamkan umat Islam, malah merenggangkan minat bukan Islam kepada Islam. Pintu keharmonian kaum ditutup dengan pelbagai ijtihad yang jauh menyimpang dari masyarakat majmuk namun dikaburi dengan kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS.
Kesimpulannya, perbandingan antara empat tokoh PAS yang telah pergi dengan kepimpinan bekas Menteri Besar Terengganu tahun 1999-2004 itu boleh menjadi pengukur akan tahap kecemerlangan PAS dalam arena politik, dakwah dan pentadbiran negara. Unsur fanatisme yang mampu meletakkan PAS berada pada titik terendah hari ini. Lebih penting, PAS akan kekal dengan fantasi mindanya untuk menawan kerajaan dengan cara yang luar biasa semata-mata tanpa memulihkan keadaannya.
Walau bagaimanapun, tulisan ini bukanlah selengkapnya untuk menggambarkan keadaan yang pernah wujud dalam PAS, namun ia cukup diringkas dan disingkatkan bagi memahami konteks yang dimaksudkan tentang apakah PAS hari ini kekal seperti dahulu atau telah menyimpang jauh dari asalnya. Bermula daripada zaman Dato Asri hinggalah kini.