SelangorToday

ERA MADANI KSN BUAT LAWATAN MENGEJUT KE IBU PEJABAT JPJ

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar mahu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah baik taraf perkhidmatan dan memastikan isu yang melibatkan kepuasan pelanggan dapat diatasi.

Ketua Setiausaha Negara dalam satu kenyataan di Facebook berkata, masa menunggu yang agak lama perlu diberi perhatian oleh JPJ.

Justeru itu, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ untuk mencari kaedah yang bersesuaian bagi memendekkan masa menunggu.

“Selain itu, ruang menunggu perlu ditambah baik bagi mendapatkan persekitaran yang kondusif dan mesra pelanggan (terdapat kerosakan kerusi dan juga tiada kipas). Saya telah mengarahkan Putrajaya Holdings untuk mengambil tindakan segera dalam minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara mengadakan lawatan mengejut ke ibu pejabat JPJ di Putrajaya, petang semalam.

Shamsul Azri berkata, lawatan berkenaan bertujuan meninjau operasi dan perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai susulan penambahan waktu pengoperasian kaunter selama satu jam berkuat kuasa pada 19 Ogos lalu di beberapa negeri terpilih.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas dan anggota JPJ yang telah bertungkus-lumus memberikan khidmat yang baik kepada pelanggan dan turut meminta semua jabatan kerajaan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Exit mobile version