Seorang exco Pemuda Bersatu mendakwa pengurusan sayap itu di bawah Muhammad Hilman Idham dilihat di luar dari kebiasaan dan tidak menggambarkan amalan pentadbiran baik yang berisiko menggugat strukturnya.
Hilman yang juga Adun Gombak Setia mula memegang jawatan itu bulan lalu susulan kemenangannya pada pemilihan Bersatu dengan menewaskan pencabarnya Akmal Zahin Zainal Zahir.
Wan Meor Sadwat Naqiuddin Shamsuddin berkata perbezaan pendiriannya disebabkan jawatan yang disandangnya iaitu ketua Biro Profesional & Sukarelawan bersifat lantikan oleh Hilman pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) Nov lalu.
Menurutnya, jawatan exco Pemuda pula adalah jawatan dipilih majoriti perwakilan di peringkat bahagian dan cawangan.
Susulan itu beliau telah meletakkan jawatan Ketua Biro Profesional & Sukarelawan Bersatu pada 5 Jan lalu namun mengekalkan jawatan sebagai Exco Pemuda tanpa portfolio.
“Keputusan ini diambil atas faktor perbezaan pendirian antara saya dengan Hilman berkenaan struktur pentadbiran Pemuda Bersatu yang dilihat luar dari kebiasaan dan tidak menggambarkan amalan pentadbiran baik dengan risiko menggugat kestabilan keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan. – FMT