Simpati dengan kesusahan seorang ibu tunggal, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara menyerahkan kereta terpakai bagi memudahkan wanita berkenaan menguruskan kehidupan seharian.
Menurut Ng Sze Han, kereta jenis Proton Saga sumbangan Carsome itu dapat membantu Nora, yang juga asnaf membesarkan tiga anaknya termasuk urusan penghantaran ke sekolah terutama waktu hujan.
Beliau menjelaskan Nora yang bekerja di kedai makan selama ini hanya menunggang motosikal untuk pergerakan harian termasuk membawa anak-anak mendapatkan rawatan di klinik.
“Kami berjumpa Nora ketika program Jelajah Kasih Ramadan Kinrara tahun lalu untuk memberikan sumbangan dan menyantuni golongan asnaf. Ketika itu, Nora membesarkan anak bersendirian.
“Mendengar kisahnya, kami ambil keputusan bantu dia mendapatkan lesen supaya boleh melakukan kerja sambilan sebagai penghantar barang atau Grab.
“Kami cabar dia, kalau dapat lesen saya usahakan kereta. Bila Nora sudah miliki lesen, saya usahakan dan Carsome yang sumbang kereta itu,” katanya menerusi Facebook.
Sze Han yang juga Exco Pelaburan Selangor berkata isterinya turut melatih dan menemani Nora memandu kereta sekitar Dewan Undangan Negeri itu supaya lebih mahir dan berani.
Beliau turut mendoakan anak-anak wanita itu akan belajar dengan tekun dan berjaya supaya boleh membantu keluarga apabila dewasa kelak.
“Kami akan terus santuni keluarga asnaf di Kinrara dalam Jelajah Kasih Ramadan nanti,” katanya. – SelangorKini