SelangorToday

FAHMI NGAH BERI AMARAN, JANGAN GUNAKAN AGAMA UNTUK PECAH BELAHKAN MASYARAKAT

Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Rakyat negeri ini dinasihatkan merujuk saluran betul sebelum berhujah menggunakan nama agama.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah menegaskan perbuatan menggunakan nama agama bagi memecah belah perpaduan sangat tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

“Semalam (kelmarin) khutbah Jumaat menyebut soal fatwa dan yang mana (fatwa) harus diikuti oleh rakyat. Di Selangor kita ada saluran rasmi (Jabatan Mufti).

“Rujuklah saluran rasmi untuk kefahaman kepada agama Islam sebenar. Islam agama untuk semua dan agama yang benar, jadi tidak perlulah guna agama untuk tujuan pecah belah (perpaduan),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Masyarakat Majmuk: ‘Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih’ anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Dewan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Beliau turut menjelaskan kejayaan Islam dikembangkan ke seluruh dunia kerana sikap hormat-menghormati antara kaum selain penyatuan dalam kalangan umat Islam.

“Kesatuan ini yang membuatkan Islam itu berjaya dikembangkan ke seluruh dunia dan berjaya daripada sudut ekonomi, politik dan sosial,” katanya.

Pada 12 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

Exit mobile version