Pentadbir masjid diharap memainkan peranan sebagai khaira ummah sekali gus menjadikan institusi berkenaan sebagai pusat penyatuan masyarakat.
EXCO Agama Islam berkata tugas pentadbir menyampaikan kebenaran dan mencegah kemungkaran termasuk menghentikan perbalahan serta fitnah dalam masyarakat.
“Pentadbir masjid juga perlu menzahirkan sifat mahmudah agar menjadi contoh yang baik dengan menzahirkan kelakuan baik sebagai tabiat harian dan sentiasa betulkan niat agar keikhlasan dapat dipupuk dan diredai Allah.
“Jadikan masjid berfungsi sebagai pusat penyatuan ummah menerusi penerapan ilmu dan kefahaman agar umat Islam menjadi umat yang berfikiran terbuka berlandaskan syarak,” kata Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Merealisasi Khaira Ummah Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Negeri di sini.
Bertemakan Mendominasi Kebaikan dan Mencegah Kemungkaran, konvensyen berkenaan dihadiri lebih 300 peserta dari kalangan imam, nazir, bilal, siak dan kakitangan masjid seluruh daerah Petaling.
Dr Mohammad Fahmi turut mengingatkan pentadbir masjid agar untuk sentiasa peka dengan perkembangan isu semasa dan sentiasa bersedia membantu agensi agama menyampaikan kebaikan dan mencegah fitnah.
“Pegawai masjid harus melaksanakan pentadbiran masjid dengan penuh ikhlas serta memastikan rumah Allah selesa digunakan untuk beribadat.
“Ini adalah amanah dan tugasan yang perlu dikongsi bersama anggota masyarakat, untuk memupuk kesatuan ummah yang akan memangkin kewujudan khaira ummah yang diidamkan,” katanya.