Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Mohammad Fakrulradzi Mahmud mahu membuat perubahan besar terhadap kawasan tersebut yang disifatkan sudah sekian lama menjadi seperti pekan koboi. Beliau yang juga anak jati Endau berkata, perubahan tersebut perlu dilaksanakan kerana ia secara langsung akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda di kawasan terbabit.
Menurutnya, masalah peluang pekerjaan yang terhad di kawasan itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan beliau akan menggariskan beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi isu tersebut. “Kerajaan negeri perlu mengatasi terlebih dahulu masalah pemilikan tanah kepada generasi muda. Peluang memiliki tanah seolah tertutup apabila dasar tanah Johor sangat tidak mesra orang muda. Saya akan perjuangkan hak memiliki tanah kepada orang muda.
Dalam pada itu, Mohammad Fakrulradzi berkata, Endau juga boleh dimajukan dengan mewujudkan kilang dan industri di banyak kawasan terbiar terutama di sekitar kawasan jalan yang menghubungkan Endau ke bandar Mersing. Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar pembinaan resort dan ‘homestay’ dapat digalakkan dan dilaksanakan secara bersepadu di sepanjang jajaran jalan dari kawasan Penyabong sehingga ke Pantai Air Papan, di sini.