SelangorToday

FAMA FEST@SELANGOR BERMULA 27 JUN, SASAR 50,000 PENGUNJUNG

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM750,000 sepanjang penganjuran program Fama Fest@Selangor pada 27 hingga 30 Jun ini.

Pengarah Fama Negeri Selangor Aiada Abdul Rashid berkata pihaknya turut menyasarkan 50,000 pengunjung hadir ke program yang akan berlangsung di pekarangan parkir Aeon Mall Bukit Tinggi, Klang dekat sini.

“Program Fruit & Food Fiesta atau Fama Fest merupakan satu daripada acara tahunan yang dianjurkan bagi mempromosi dan memperkenalkan produk pertanian serta makanan tempatan kepada orang ramai.

“Sebanyak lapan siri penganjuran Fama Fest disasarkan pada tahun ini bermula di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng di Perak, Miri di Sarawak dan Nilai di Negeri Sembilan selain akan diteruskan di Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur dan Sabah,” katanya pada sidang media di Pejabat Fama di sini hari ini.

Aiada berkata program itu jadual dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada 29 Jun, selain terdapat 200 penyertaan usahawan.

“Tarikan menu yang boleh didapati menerusi program itu antaranya 150 menu masakan warisan Melayu dan 150 menu masakan tular yang terdiri daripada 100 lot jualan.

“Selain itu, terdapat Jualan Agro Madani yang menawarkan penjimatan harga sebanyak lima hingga 30 peratus dan 1,000 set kombo Madani berjumlah RM10 yang berisi sayur-sayuran, bawang, minyak dan telur,” katanya.

Penganjuran Fama Fest sejak 2017 hingga tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna dan usahawan dengan nilai jualan yang dicatatkan berjumlah RM24 juta melibatkan 2,180 usahawan yang menyertainya selain dihadiri 2.2 juta pengunjung.– BERNAMA

Exit mobile version