SelangorToday

FATWA UNDI SUHAIZAN: ORANG YANG SAMA DAKWA PAS SESAT – AZRUL HAKIM

AMANAH menempelak Pengerusi Perikatan Nasional(PN) yang mudah mengeluarkan sebarang fatwa sesat demi mendapatkan sokongan pengundi dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram. Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Selangor, Ustaz Azrul Hakim berkata satu ketika dahulu Mahiaddin Yassin juga adalah orang yang mendakwa PAS adalah Parti Ajaran Sesat kerana PAS selalu mengeluarkan pelbagai fatwa politik. Kini, setelah menjadi sahabat kepada PAS, Mahiaddin pula  membuat fatwa bahawa ‘Haram mengundi Suhaizan’ dalam PRK kali ini. Jelas Ustaz Azrul lagi, tindakan Pengerusi PN itu menunjukkan PN sangat terdesak untuk mendapatkan sokongan pengundi setelah gagal merampas negeri-negeri yang diperintah oleh HARAPAN dalam 6 PRN yang lalu.

Ustaz Azrul mengingatkan bahawa ijtihad mengeluarkan fatwa sesuatu hukum mestilah diserahkan kepada ahli yang arif atas prinsip yang ditetapkan serta kaedah syarak yang perlu dilaksanakan. Ia bukan sesuka hati dikeluarkan secara semberono tanpa sebarang panduan. Mengulas mengenai suhu politik di Selangor, Ustaz Azrul berkata pembangkang akan terus memainkan sentimen kaum dan agama untuk memperlihatkan imej negatif kerajaan perpaduan meskipun telah dilarang oleh Baginda Sultan Selangor. Malah beliau mempersoalkan dari sudut manakah Islam terancam di Selangor. Sedangkan pelbagai program agama termasuk pengimarahan surau dan masjid terus berjalan di Selangor tanpa melibatkan agamawan yang terlibat dengan politik. Ini membuktikan bahawa yang terancam bukannya Islam tetapi agamawan yang terlibat dengan politik.

Timbalan Ketua AMANAH Kapar itu menambah, PAS sendiri tidak ikhlas dalam perjuangan memartabatkan Islam. Ini dibuktikan apabila PAS hanya mampu berkokok kuat ketika menjadi pembangkang dalam membangkitkan perihal umat Islam. Sebaliknya semasa PAS diberikan kuasa memerintah kerajaan Pusat selama 33 bulan, tiada sebarang kejayaan yang boleh dibanggakan demi kemajuan umat Islam. PAS tunduk kepada tekanan politik pihak lain meskipun PAS mendakwa merekalah king marker kepada politik Malaysia. Akhirnya PAS menikus semasa memerintah. – Selangor Today

Exit mobile version