
Selepas mencapai tempoh ‘klimaks’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 dan ketika Pilihan Raya bagi enam buah negeri, PAS dilihat tercari-cari dan meronta-ronta untuk mendapatkan satu azimat baru demi mempertahankan prestasinya untuk episod politik akan datang.
Gagalnya PAS dengan sekutunya iaitu BERSATU dan GERAKAN atas panji Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan pasca PRU tahun 2022 itu memberikan kesan langsung kepada ‘survival’ politik semua parti komponen PN termasuk PAS.
Justeru PAS sedang bertungkus-lumus mempertahankan ‘gelombang hijau’ yang didakwa mereka sebagai gelombang orang melayu memberikan sepenuh kepercayaan kepada PAS untuk menjadi kerajaan. Sedangkan hakikat sebenarnya, orang melayu bukanlah meyakini PAS seperti mana orang melayu meyakini UMNO semasa memerintah selama lebih 60 tahun itu atau tekad orang melayu mengubah haluan daripada BN ke PH seperti PRU 2018. Sebaliknya ia merupakan satu undi protes orang melayu yang sedang sangsi kepada UMNO dan PH.

Lalu mereka memberi sokongan protes kepada PAS dan bukannya sokongan untuk meletakkan PAS sebagai kerajaan. Buktinya, sehingga ‘gelombang hijau’ yang didakwa melanda negara, PAS gagal mencapai jumlah kerusi yang mencukupi membentuk kerajaan bersama PN.
Berbeza dengan masyarakat melayu moderat yang bertekad sepenuhnya menumbangkan BN dan mahukan kerajaan baharu diserahkan kepada PH pimpinan Tun Mahathir satu ketika dahulu. Jumlah kerusi yang dimenangi berjaya membentuk kerajaan persekutuan serta menawan 6 negeri daripada BN. Tsunami perubahan itu melanda serata negara bukan hanya ditempat tertentu sahaja. Ini menunjukkan ia sebagai gelombang perubahan orang melayu untuk menobatkan pemerintah baharu.
Sebaliknya PAS melalui gelombang hijau, hanya berjaya menumbang sebuah negeri sahaja iaitu Perlis serta menembusi beberapa negeri sebagai pembangkang. Jelaslah situasi itu bukanlah satu petanda orang melayu mahukan PAS dan PN menjadi pemerintah, sebaliknya ia sebagai satu protes atas persimpangan yang berlaku dalam fikiran orang melayu kerana kemerosotan wibawa BN serta defisit keyakinan kepada parti melayu dalam PH.

Maka kedudukan ini akan menyebabkan pengundi yang suka-suka memilih PAS sebelum ini terbuka untuk mengundi parti lain. Jumlah undi yang diperoleh ketika ini tidak boleh diklasifikasikan sebagai undi teras(pengundi tegar) mereka.
Natijahnya PAS harus bermain dengan sentimen yang berunsur perkauman atau berbentuk menakut-menakutkan orang melayu agar orang melayu terus bersama PAS. Secara tak langsung, keterdesakan ini membuatkan PAS melampaui batas norma sebagai sebuah parti Islam yang bermoral.
Misalnya citra PAS sejak zaman Dr. Burhanuddin, Dato Asri Muda, Tuan Guru Yusof Rawa sehingga zaman Ustaz Fadzil Noor, PAS berperanan sebagai parti yang mencelikkan minda masyarakat. Dari kejahilan kepada ketamadunan, dari jumud kepada keterbukaan dan dari kongkongan kepada keterbukaan. Ini salah satu paksi yang memegang pengaruh PAS sehingga berjaya menarik profesional melayu serta golongan bukan melayu kepada PAS.

Namun pada hari ini, PAS menggunakan pelbagai elemen yang diluar norma kebijakan dan kewarasan manusia semata-mata untuk mengekalkan sokongannya. PAS menggunakan pelbagai hujah yang merendah-rendahkan minda orang melayu. Malah PAS membangkitkan ketakutan kepada orang melayu melalui elemen yang tidak masuk akal.
Dalam pada itu, PAS pula tidak lekang dengan budaya fitnah yang semakin hari terbukti apabila dibawa ke mahkamah. Tuduhan yang PAS lakukan benar-benar mampu mengepung undi melayu kepada PAS, namun strategi itu jauh menyimpang daripada moral PAS sebagai parti Islam serta pimpinannya dari kelompok agamawan. Pemimpin DAP semakin kaya hasil duit kalah saman pimpinan PAS yang dibayar kepada mereka sedang undi DAP tidak pernah berubah manakala imej PAS pula yang terpalit teruk.

Disinilah apa yang dapat dilihat, gelombang hijau bakal dibenam oleh satu fenomena baharu yang sedang dibina. Pengukuhan parti kerajaan perpaduan dalam kerajaan serta pengetahuan rakyat semakin melebar dan mengukuh. Strategi PAS akan dilondehkan atas amalan luar norma yang PAS lakukan.
Pun begitu, boleh dikatakan strategi PAS ini akan ranap dan hangus dalam politik apabila adanya pengganti yang mula diyakini oleh masyarakat melayu Islam. Tumpuan utama adalah Parti AMANAH Negara memandangkan AMANAH merupakan satu-satunya parti Islam(tidak berasaskan kaum melayu sahaja) dalam kerajaan dan mempunyai DNA PAS. Oleh itu, hanya pimpinan AMANAH yang satu ketika dahulu kelompok yang mengukuhkan PAS sahaja yang boleh membenamkan PAS.
Memasuki usia 10 tahun penubuhannya, AMANAH dilihat semakin agresif mengukuhkan idealisme serta wibawa kepimpinanya partinya. Kesibukan parti yang berjaya membentuk kerajaan sebanyak dua kali dalam tempoh yang singkat itu mendepani ketidakstabilan politik selepas 2018 membantutkan usaha pengukuhan perjuangan AMANAH kepada masyarakat.

Ahli AMANAH juga mengalami pasang surutnya. Namun suntikan generasi baru dalam kepimpinan AMANAH seperti Faiz Fadzil sebagai Setiausaha Agung serta penjawat baru diperingkat nasional seperti Hj Azli Yusof, Anfaal Saari, Abbas Azmi dan Zamir Ghazali mencondongkan AMANAH kepada perubahan total yang dituntut ketika ini.
AMANAH merupakan parti politik masa depan yang diperlukan mulai sekarang. AMANAH merupakan imej Islam masa depan yang bakal ditonjolkan melalui Program Transformasi AMANAH atau ProAMANAH. Dibawah kelolaan Dr.Mujahid Yusof Rawa selaku Timbalan Presiden, AMANAH akan dan seharusnya mengorak langkah lebih kemas dan pantas mendepani pelbagai ledakan yang dibuat oleh PAS.

Kerosakan yang PAS bawa sehingga merosakkan imej Islam, harus dirawati dan diperbaiki oleh AMANAH atas tuntutan yang mendesak pimpinan Mohamad Sabu. Moral kepimpinan AMANAH mesti mengatasi moral pimpinan PAS yang sedia ada merosot jauh kebawah. Diyakini bahawa pengukuhan AMANAH akan mencetuskan fenomena ‘jingga’ yang bakal menyinarkan keindahan citra Islam serta membenam gelombang hijau yang sedang dibawa oleh PAS.
Cikgu Syazmir HN