SelangorToday

FIKRAH PERJUANGAN PARTI AMANAH NEGARA

[1 DEKAD AMANAH] Apabila menyebut soal gerakan Islam mahupun parti politik berteraskan Islam, pastinya soal fikrah perjuangan yang menjadi asas kepada perjalanan gerakan mahupun parti politik itu diperhatikan. Setelah dikonsepkan melalui ideologi Islam, fikrah perjuangan menjadi panduan kepada pasak-pasak prinsip perjuangan yang dibentuk oleh sesebuah organisasi Islam.

Parti AMANAH Negara sebagai sebuah parti politik yang ditubuhhkan ditengah-tengah kehangatan politik Malaysia akhir kepimpinan Najib Tun Abdul Razak menjadi harapan buat masyarakat Islamis bergantung harap setelah Parti Islam Se-Malaysia(PAS) mula mengendurkan momentum mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional(BN).

Tidak meletakkan seseorang tokoh negarawan sebagai simbolik perjuangan, AMANAH melakar perjalanan politiknya yang tersendiri setelah disingkirkan secara terancang oleh golongan konservatif muda di dalam PAS. Mereka bergerak sepasukan menubuhkan sebuah parti bertemakan oren, bersendikan Islam Progresif serta menekankan prinsip beramanah sebagai nadi kelangsungan politik alaf baru.

Ditengah-tengah kekusutan politik melayu Islam yang terhimpit akibat permainan politik wang, ketidakjujuran mengurus kuasa serta hilang minat memajukan anak bangsa, AMANAH muncul menawarkan sebuah solusi yang bersifat fundamental untuk mengatasi kebejakan yang berlaku dalam negara.

AMANAH memahami nilai kejujuran atau sifat beramanah sangat berjauhan bukan sahaja kepada ahli politik melayu Islam mahupun bukan melayu, namun sebagai muslim, sifat beramanah sepatutnya menjadi iringan kepada setiap langkah manusia dimuka bumi ini termasuk dalam berpolitik dan mentadbir. Jika prinsip ini difahami bahawa Islam sangat menekankan soal amanah, tidak mungkin ramai pemimpin politik daripada melayu Islam menelurkan pelbagai salah laku dalam tugas mereka.

Penjelasan ini membuktikan bahawa AMANAH bukan semata-mata dilahirkan hanya untuk dilihat Islam semata-mata, sebaliknya AMANAH mengangkat solusi yang relevan dalam keadaan semasa sebagai satu permulaan kepada perjuangan AMANAH. AMANAH sanggup meninggalkan simbolik Islamnya demi mengetengahkan nilai penting yang mampu memperbaiki kerakusan yang berlaku di Malaysia. AMANAH sanggup membuka ruang buat ahli bukan Islam untuk menyertai mereka bagi memastikan AMANAH dilihat meski parti politik Islam,tetapi bukan agama yang dieksklusifkan hanya untuk orang Islam. Tetapi AMANAH sebuah organisasi yang merangkul perjuangan menegakkan nilai Islam bersama-sama dengan masyarakat bukan Islam.

Hakikat yang perlu difahami atau yakini, bahawa ke semua pimpinan awal AMANAH diasuh, ditarbiyah dan dididik melalui PAS. Walau berbagai-bagai tok guru yang muncul mewarnai dunia tarbiyah dalam PAS. Namun ahli PAS lebih sebati dengan citra yang ditonjolkan oleh Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz.

Hujah untuk menyatakan keselesaan PAS kepada kedua-dua pendekatan itu, apabila PAS mula menjadi perhatian umum serta memimpin kesepakatan anti-kerajaan dalam era 90an dan 10 tahun pertama abad ke-20. Wajah Ustaz Fadzil dan Tok Guru Nik Aziz sentiasa menjadi tarikan pelbagai golongan termasuk bukan Islam kepada PAS. Dua murabbi ummah ini pula, tidak pernah membezakan, mencurigai mahupun menyingkirkan mereka yang tidak segolongan dengan mereka dalam PAS.

Jalur keraikan mereka hanyalah semuanya ahli PAS. Sebab itu walau setiap kali pemilihan parti ataupun Pilihan Raya, PAS tidak berpecah besar kerana yang naik atau turun, yang kalah atau menang mereka adalah orang PAS.

Pendekatan politik Ustaz Fadzil dan Tok Guru Nik Aziz pula sangat berbeza dengan apa yang diamalkan pada PAS hari ini. Nilai inklusif yang menjadi tonggak kepimpinan Ustaz Fadzil menjadikan PAS sebagai contoh politik Islam yang selari dengan konteks negara Malaysia. Malah PAS yang menempatkan pelbagai tokoh profesional sebagai pemimpin PAS dan sebagai calon Pilihan Raya. Wajah-wajah itu kebanyakan hari ini ada didalam AMANAH. Justeru itu, PAS dilihat sebagai sebuah parti politik yang kukuh, berpengaruh dan matang hanya kerana mengamalkan nilai inklusif.

AMANAH tidak pernah lari dari pendekatan ini, kerana sikap eksklusif yang tumbuh semula dalam PASlah yang menyebabkan mereka disingkirkan secara tidak bermaruah. Tersingkir atau kalah menjadi resam mereka dalam PAS, namun apabila dilakukan secara tidak bertamadun seperti itu, pemimpin AMANAH menubuhkan parti baru. Maka AMANAH menterjemahkan nilai inklusif ini baik dari IKRAM, JIM, WARDAH dan ABIM dalam sebuah parti.

Begitu juga dengan sikap kesederhanaan yang dibawa oleh Tok Guru Nik Aziz telah berjaya meletakkan Islam sebagai agama pendamai dan harapan buat semua pihak. Baik melalui perbezaan agama mahupun latar belakang, Tok Guru menyantuninya dengan penuh kesederhanaan. UMNO yang menjadi seteru PAS dengan pelbagai tekanan mampu dilayani dan dihadapi kesederhanaan. Akhirnya PAS bukan hanya dilihat sentiasa politiking, sebaliknya menjadi pencetus solusi, pendamai dan penggantung harap buat masyarakat Malaysia.

Begitulah juga dengan apa yang ada pada AMANAH, dari kejauhan, AMANAH dilihat tidak mempunyai tekad politik yang besar kerana AMANAH sering kali menonjolkan pelbagai solusi demi kesejahteraan rakyat. Yang penting AMANAH bukan semata-mata dan sepenuhnya mengharapkan aksi politik demi mempengaruhi rakyat, sebaliknya menawarkan pelbagai manfaat buat rakyat.

Justeru tidak keterlaluan jika AMANAH bersandarkan kepada pegangan dan pendekatan yang dibawa oleh Ustaz Fadzil dan Tok Guru Nik Aziz. Peninggalan mereka dari dunia yang fana ini melenyapkan sebuah sinar yang pernah mencahayai PAS dalam politik Malaysia. Anaka didik mereka pula yang tulus, ikhlas serta mengorbankan jiwaraganya demi PAS ditumbangkan oleh mereka yang mentah dalam politik Islam berpaksikan Malaysia. Jadi AMANAH menjadi pelopor kepada fikrah perjuangan murabbi ummah ini serta membawa satu legasi perjuangan yang lebih bermakna buat Islam dan Malaysia kelak.

Exit mobile version