 
                KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2025 – Friends Of Ministry (FOM) bagi Menteri Agama mengecam keras tindakan pembangkang yang didakwa menyebarkan fitnah berhubung kontrak Tabung Haji (TH) semata-mata untuk meraih keuntungan politik murahan.
Dalam kenyataan petang ini, FOM menegaskan tuduhan kononnya kerajaan meluluskan kontrak bernilai RM20 juta kepada syarikat bukan bumiputera bagi kerja penjenamaan TH bukan sahaja tidak berasas, malah mendedahkan sikap hipokrit pembangkang.
“Fakta tidak boleh diputar belit. Sepanjang tempoh pembangkang menerajui portfolio agama dari Mac 2021 hingga November 2022, merekalah yang sebenarnya memberi kontrak kepada 23 syarikat bukan bumiputera dengan nilai keseluruhan melebihi RM55 juta. Jadi siapa yang bermain politik dan siapa yang menggadaikan prinsip?” tegas FOM.

Kenyataan itu turut menyifatkan permainan isu kaum oleh pembangkang sebagai usaha terdesak untuk menghasut sentimen rakyat, sedangkan realitinya perlantikan vendor TH dibuat melalui proses penilaian yang ketat, telus dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah mengikut piawaian tata kelola korporat terbaik.
“Isu sebenar bukan perkauman, tetapi integriti dan profesionalisme. TH kekal berpegang pada mandatnya memperkasa ekonomi ummah – buktinya 81 peratus vendor pada 2024 adalah syarikat bumiputera, merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan operasi,” tambah kenyataan itu.
FOM menegaskan, tindakan pembangkang menyerang Menteri Agama dan institusi Tabung Haji hanya merosakkan kredibiliti mereka sendiri.
“Cukuplah menabur fitnah dan mempolitikkan institusi umat Islam. Tembelang mereka akhirnya pecah. Kami berdiri teguh bersama Menteri Agama dalam mempertahankan Tabung Haji daripada serangan tidak bertanggungjawab ini,” ujar FOM.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            