SelangorToday

GABUNGAN PN RETAK MENANTI BELAH – KETUA PEMUDA HARAPAN SELANGOR

Situasi semasa yang dihadapi oleh Perikatan Nasional(PN) menjadi semakin rumit apabila empat ahli parlimen pembangkang menyatakan sokongan tanpa syarat kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru-baru ini. PN yang dianggotai oleh PAS, BERSATU dan GERAKAN semakin tidak serasi apabila bulan demi bulan PN gagal menumbangkan kerajaan persekutuan yang dibentuk sejak November 2022. Ketua Pemuda HARAPAN Selangor, Danial Al-Rashid Harun berkata, keadaan menjadi lebih hangat apabila tiga ahli parlimen yang menyokong PM ke-10 itu memohon kerusi mereka di Dewan Rakyat dipindahkan ke blok bebas. Kegagalan BERSATU mempertahankan ahli parlimen mereka merupakan bibit perpecahan antara PAS dan BERSATU di dalam PN.

Tambah Danial yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu, PAS yang memimpin empat negeri utara pasca PRN lalu telah memilih Tun Dr. Mahathir selaku penasihat tidak rasmi mereka sekaligus menolak kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin selaku Pengerusi PN. Beliau menjelaskan PAS yang sentiasa mencari peluang mendapatkan manfaat untuk mereka akan mencari tokoh lain yang dilihat lebih relevan berbanding ahli parlimen Pagoh itu. Sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Kangsar(Iskandar Dzulkarnain Bin Abdul Khalid), Ahli Parlimen Labuan(Dr. Suhaili Bin Abdul Rahman), Ahli Parlimen Gua Musang(Mohd Azizi Abu Naim) dan Ahli Parlimen Jeli(Zahari Kechik) mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Pengumuman itu mencemaskan kerjasama PN memandangkan wakil rakyat BERSATU berpaling tadah berbanding wakil rakyat PAS.

Danial yang juga ADN Batu Tiga bagaimana pun mengalu-alukan sokongan ahli parlimen pembangkang kepada Kerajaan Perpaduan. Dengan langkah ini, ia boleh mematikan propaganda PN yang selalu mendakwa kerajaan yang dianggotai HARAPAN, BN, GPS,GRS, WARISAN dan beberapa parti lain akan tumbang. Bukti kestabilan kerajaan yang ada hari ini mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. – SelangorToday

Exit mobile version