SelangorToday

GABUNGAN RAKYAT SABAH TOLAK LANGKAH TUMBANG KERAJAAN PERPADUAN

“Kita rasa dihargai dalam sebuah kerajaan yang dibentuk, di bawah Kerajaan Perpaduan setiap ahli hendaklah dilihat sebagai penting.”

Demikian kata Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun berhubung komitmen gabungan itu terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, GRS kekal dengan pendirian terus menyokong kepemimpinan Anwar untuk terus menerajui kepimpinan negara sehingga habis penggal.

Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, sepertimana dinyatakan oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa pendirian gabungan itu jelas menyokong kepemmpinan Perdana Menteri.

“Dalam kenyataan Perdana Menteri tersebut, kita rasa bahawa GRS adalah satu komponen penting dalam kerajaan.

“Sebagai tanda terima kasih kita atas pengiktirafan itu, kita telah menyatakan dari awal bahawa kita menyokong penuh kepemimpinan beliau untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga penggal ini selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang kenyataan Perdana Menteri yang menyambut baik komitmen GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menolak beberapa cubaan terdesak untuk menjatuhkan kerajaan sepanjang tempoh setahun ini.

Menurut Masidi, GRS ingin memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi kerana kehidupan rakyat cukup terjejas dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.

“Jadi saya mintalah supaya kita lupakan sementara segala perbezaan remeh temeh politik ini dan tumpu kepada menyatupadukan semua usaha serta fokus kita untuk memulihkan ekonomi.

 “Apabila ekonomi kita dapat dipulihkan, kita boleh bercakap pasal benda-benda lain yang lebih penting seperti perlunya kita bersatu,” katanya. – UTUSAN

Exit mobile version