
SHAH ALAM, 30 Mei 2025 – Kerajaan Negeri Selangor hari ini memaklumkan bahawa berlaku gangguan teknikal terhadap aplikasi SELangkah yang menjejaskan sebahagian penerima manfaat Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) bagi bulan Mei.
Menurut EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, YB Anfaal Saari, kerja-kerja penyelenggaraan sedang giat dijalankan oleh Selcare Management Sdn. Bhd., selaku agensi pelaksana program BINGKAS, bagi memastikan sistem aplikasi tersebut kekal cekap, selamat dan stabil. Aplikasi dijangka kembali beroperasi sepenuhnya pada 10 Jun 2025.

“Susulan gangguan ini, Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat Negeri telah memutuskan untuk membenarkan baki manfaat bulan Mei yang belum digunakan, dibawa ke bulan Jun. Ini bermakna penerima boleh menggunakan manfaat untuk kedua-dua bulan sehingga 30 Jun 2025,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kerajaan Negeri memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menyeru penerima manfaat untuk menghubungi talian hotline Selcare di 1-800-22-6600 sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau aduan.
Program BINGKAS merupakan antara inisiatif kebajikan utama Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui bantuan tunai bulanan kepada keluarga yang layak.