Kementerian kesihatan Palestin kelmarin menyatakan 274 maut dan 698 cedera dalam apa yang dilabelkannya sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai Nurseirat’, ketika menteri Kabinet perang rejim Israel Benny Gantz mengumumkan peletakan jawatannya susulan serangan tersebut.
Dalam operasi ganas di kawasan kem pelarian padat Nuseirat di tengah Gaza, tentera rejim menyelamatkan empat tebusan di sebalik kehilangan seorang pegawai polisnya dalam pertempuran bersenjata dan bom tangan, manakala jet pejuang rejim melancarkan serangan udara yang meranapkan beberapa bangunan.
Turut terbunuh sekurang-kurangnya 64 kanak-kanak 57 wanita dan 37 warga emas, tambah kementerian.
“Orang ramai menjerit, muda dan tua, wanita dan lelaki.
“Semua orang mahu lari dari tempat ini tetapi pengeboman terlalu hebat dan sesiapa sahaja yang bergerak berdepan risiko dibunuh ekoran pengeboman dan tembakan berat,” kata penduduk Nuseirat Muhannad Thabet, 35.
Peletakan Gantz dibuat selepas beliau mengutarakan kata dua kepada Netanyahu untuk menyampaikan pelan pascaperang menjelang 8 Jun.
Seorang komander kanan Brigadier Jeneral Avi Rosenfeld juga meletak jawatan kelmarin atas alasan gagal menghalang serangan pada 7 Oktober lalu.
Briged Ezzedine Al-Qassam Hamas berkata, beberapa tebusan telah terbunuh semasa operasi ganas itu dan memberi amaran keadaan pasti semakin buruk bagi saki-baki tebusan.
Selepas serangan Sabtu lalu, 116 tebusan dipercayai masih berada di Gaza walaupun rejim menyatakan 41 daripadanya telah maut.
Ketika menjelaskan punca kematian ramai orang awam dan kerosakan di Nuseirat, jurucakap rejim Peter Lerner memberitahu rangkaian ABC Amerika Syarikat (AS) bahawa tentera diserang dari segenap penjuru, ‘ia adalah dan masih zon perang’.
Pertempuran selanjutnya menyaksikan empat sekeluarga terbunuh apabila rumah mereka ranap dibedil jet pejuang di kawasan Al-Daraj di Kota Gaza di wilayah utara, menurut pasukan perubatan Hospital Al-Ahli.
Helikopter tentera juga melancarkan serangan di timur kem Bureij dekat Nuseirat, kata saksi kepada AFP.
Pembedilan artileri pula dilaporkan di kawasan tengah dan utara Rafah, kata para pegawai di bandar selatan itu.
Ketua Hamas yang berpangkalan di Qatar Ismail Haniyeh kelmarin mengecam pembunuhan beramai-ramai yang kejam di Nuseirat dan menegaskan sebarang perjanjian yang dicapai mestilah melibatkan pemberhentian tetap keganasan, pengunduran sepenuhnya tentera, perjanjian pertukaran tebusan dan penduduk Palestin yang diculik serta pembinaan semula.
Setiausaha Negara AS Antony Blinken memulakan jelajah Timur Tengah yang kelapannya semalam, dengan persinggahan di Tel Aviv, Mesir, Jordan dan Qatar.
Sementara itu, sebuah pesawat kargo AS menggugurkan lebih 10 tan metrik bantuan di wilayah utara Gaza kelmarin, menurut tentera AS, selepas penggantungan penghantaran selama beberapa hari.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 37,084 orang telah terbunuh di Gaza, kebanyakannya orang awa, menurut kementerian kesihatan Palestin. – AFP