SelangorToday

GEG : DR.DZULKEFLY SARAN BANYAKKAN PROSES PENDIDIKAN SEBELUM DENDA

Bekas Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad ketika membahaskan Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 menyarankan agar proses pendidikan menjadi keutamaan dalam penguatkuasaan undang-undang tersebut berbanding mengenakan denda kepada mereka yang terlibat. Beliau berkata, usaha murni ini harus dijayakan dengan sebaik mungkin, namun tidak boleh dinafikan bahawa kejayaan undang-undang ini dicapai apabila generasi yang menjadi sasaran mempunyai kesedaran yang jitu terhadap bahayanya produk tembakau dan dan rokok. Oleh itu, proses pendidikan perlu lebih diutamakan agar kesedaran bahayanya produk tembakau dan rokok dan diwujudkan.

Dr.Dzulkefly Ahmad, menteri yang memulakan inisiatif GEG

Tambah Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, keadaan dunia yang semakin canggih dan mencabar melihatkan kurang berkesannya akta sedia ada, tambahan pula hari demi hari, produk berasaskan tembakau dan rokok dibentuk menjadi lebih canggih dan mudah diakses, oleh itu penggubalan akta baharu ini merupakan satu perkara yang wajar dilakukan dan ia seiring dengan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan semasa memerintah satu ketika dahulu yang memulakan larangan merokok ditempat awam. Kata beliau, sasaran kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok di Malaysia daripada 21 % kepada hanya 4 % pada tahun 2040 adalah sangat optimis.

Akhirnya, Pengarah Strategik AMANAH Nasional itu mahu penggubalan akta ini dibawa kepada Jawatankuasa Khas Parlimen untuk menilai segala aspek lebih terperinci agar pelaksanaannya benar-benar berkesan. Selesai sesi perbahasan dan penggulungan oleh Menteri Kesihatan pada Selasa, Dewan Rakyat telah meluluskan usul agar Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ini dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk dinilai dengan lebih mendalam. –Selangor Today

Exit mobile version