AMANAH Negeri Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) yang telah melakukan tindakan mengeledah ‘Safehouse’ yang dipercayai milik ahli politik ternama.
Melalui petikan akhbar Berita Harian semalam, SPRM mengeledah ‘safehouse’ milik seorang ahli politik selepas menahan bekas Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor Incorporated(MBI) beberapa hari yang lalu. Dalam penggeledahan itu, ditemui sejumlah wang tunai termasuk wang asing.
AMANAH Selangor melalui Pengarah Komunikasinya, Abbas Azmi melalui satu komentarnya sebentar tadi mengucapkan tahniah kepada SPRM yang telah memulakan siasatan tersebut.
Abbas juga berkata, AMANAH Selangor mengharapkan usaha ini tidak akan dihentikan dan memastikan pesalah yang terlibat dalam isu ini dapat dibawa ke muka pengadilan meskipun yang terlibat merupakan orang kenamaan.
Jelas Ahli Dewan Negeri Seri Serdang itu, sebagai negeri yang maju dan mengamalkan tatakelola yang baik dibawah pemerintahan Pakatan Harapan dan kerajaan Perpaduan sudah pasti pihak PH dan AMANAH tidak boleh menerima sebarang salah laku dan penyelewengan dalam kerajaan Negeri Selangor.
Justeru itu, AMANAH Selangor menggesa SPRM meneruskan siasatan dan memastikan kerajaan negeri Selangor terus berada dalam keadaan yang baik dan terus mengamalkan ‘Good Governance’. – SelangorToday