SHAH ALAM, 23 MAC: Orang ramai diminta lebih peka terhadap risiko strok haba susulan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata peningkatan suhu persekitaran boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan, khususnya melibatkan bayi, kanak-kanak, warga emas, individu yang aktif di bawah terik matahari serta pesakit kronik.
“Orang ramai perlu mengambil langkah pencegahan segera termasuk mendapatkan tempat teduh dan minum air secukupnya,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak meninggalkan kanak-kanak di dalam kenderaan tanpa pengawasan walaupun seketika kerana boleh mengundang tragedi.
“Setakat tahun 2026, sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan termasuk satu kes kematian yang menyedihkan membabitkan seorang kanak-kanak,” katanya.
Menurutnya, strok haba tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya mempunyai tanda awal seperti pening kepala berpanjangan, dahaga melampau serta peningkatan suhu badan.
Tambah beliau, langkah pencegahan perlu diambil termasuk mengelakkan aktiviti luar ketika cuaca panas terik, memakai pakaian ringan serta memilih waktu pagi atau malam untuk melakukan aktiviti fizikal.
Beliau berkata pencegahan awal adalah kunci dalam melindungi diri dan keluarga daripada strok haba, selain menekankan kepentingan minum air secukupnya bagi memastikan tubuh kekal terhidrat dan suhu badan terkawal.

