Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu siasatan terhadap mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta dilakukan tanpa pengecualian selain mengenakan tindakan sekiranya didapati bersalah.
Beliau menegaskan perkara itu termasuk isu yang melanda Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) serta Khazanah Nasional Berhad.
“Sesiapa sahaja tidak terkecuali. Sekiranya kes berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka agensi ini akan melakukan siasatan. Begitu juga kes melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ia tidak mengira jawatan atau pangkat, sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta. NAFAS merupakan pertubuhan bebas namun ia berada bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Saya tidak halang siasatan, sekiranya mempunyai laporan maka siasatan perlu dijalankan. Sekiranya didapati bersalah maka hukuman perlu dilakukan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2024 di sini.
Dalam perkembangan lain kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan ruang perniagaan bersih dan selesa.
Perkara itu meliputi gerai, warung dan restoran kecil di seluruh negara.
“Kerajaan akan menumpukan gedung kecil, warung penjaja. Kita tidak mahu pengunjung makan di kawasan yang tidak diselia dengan baik.
“Kita tidak mahu lihat pengunjung makan di gerah yang ‘macam nak roboh’, lampu tidak menyala, keadaan tandas kotor. Kita akan menumpukan terhadap perkara ini,” katanya lagi.
Ke arah itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diberi keutamaan dan peruntukan khusus.
Pada masa sama kementerian itu perlu melaksana dasar ‘turun ke bawah’ untuk membantu rakyat. -Berita RTM