Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan semua pusat penjagaan di negeri ini berdaftar secara sah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi pengenalan geran khas yang diperkenalkan sejak Januari lalu.
EXCO Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Awam, Anfaal Saari berkata, geran khas ini diperkenalkan sebagai insentif kepada pengusaha taska dan pusat jagaan agar mereka berdaftar dengan JKM sekali gus memastikan golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerima penjagaan berkualiti dan selamat.
“Sehingga kini, seramai 330 pengusaha pusat jagaan telah memohon geran khas maksimum RM5,000, merangkumi taska, pusat jagaan warga emas dan OKU,” katanya.

Menurut Anfaal, sebahagian permohonan telah diluluskan, manakala selebihnya masih dalam semakan disebabkan kekurangan dokumen yang diperlukan.
“Kita mengalu-alukan lebih ramai pengusaha untuk memohon. Geran ini juga menjadi galakan kepada pusat jagaan yang belum berdaftar untuk mengambil langkah mendaftar secara sah dengan JKM,” tambah beliau.
Terdahulu, pada November tahun lalu, Anfaal memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri memperkenalkan geran khas ini khusus untuk pusat jagaan yang belum berdaftar sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pematuhan terhadap peraturan sedia ada.
Dengan peruntukan sebanyak RM400,000, inisiatif ini menjadi sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial dan memastikan semua pusat penjagaan beroperasi mengikut standard keselamatan dan kebajikan yang ditetapkan.