Kerajaan Negeri menyalur tiga jenis geran dengan peruntukan RM373,000 kepada rumah perlindungan wanita, badan bukan kerajaan dan pusat kebajikan tahun ini.
EXCO kebajikan masyarakat berkata 16 pusat kebajikan bawah program Pusat Kebajikan Lestari menerima RM150,000 dan tujuh persatuan bawah program Sinergi Prihatin juga menerima RM150,000.
Menurut Anfaal Saari, RM73,000 pula diberi kepada enam rumah perlindungan wanita untuk membantu dan menambah baik rumah tersebut terutama daripada segi operasi yang lebih cekap.
“Sumbangan ini bertujuan menyokong dan membantu pengurusan rumah perlindungan dan kebajikan untuk meningkatkan perkhidmatan mereka terutama daripada aspek fasiliti dan operasi.
“Semoga geran ini dapat memberi manfaat kepada penerima dan penjaga serta golongan sasar yang dijaga,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Geran Kebajikan dan Wanita Selangor di Foyer Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Jelas Anfaal pemberian geran ini selaras dengan Rancangan Selangor Pertama Tema Strategik 2 – Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial, serta hasrat Kerajaan Negeri untuk Kita Selangor Maju Bersama.
“Bagi program pusat kebajikan lestari, ia juga bertujuan memberdaya pusat kebajikan berdaftar dan beroperasi di Selangor dengan memberikan dana untuk pembelian peralatan perubatan dan kesihatan,” katanya. – SelangorKini