SelangorToday

GOBIND SINGH JAMIN EKONOMI DIGITAL DIJANGKA SUMBANG 25.5 PERATUS KDNK

Menteri Digital, Gobind Singh Deo yakin ekonomi digital akan mencapai atau melebihi unjuran sumbangan 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang akhir 2025 berikutan keupayaan Malaysia untuk terus menarik pelabur.

Beliau berkata, dasar Malaysia yang mesra perniagaan dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak kebelakangan ini telah menyumbang kepada prospek positif ekonomi Malaysia, seterusnya menggalakkan aliran masuk dana pelaburan.”Sehubungan itu, peralihan daripada agenda pusat hubungan, kepada pengalaman pelanggan menerusi pendigitalan dan inovasi sangat diperlukan.

“Industri (pusat hubungan) ini, anda semua, akan berperanan besar dalam meningkatkan ekonomi digital Malaysia,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Gala dan Malam Anugerah Persatuan Pusat Hubungan Malaysia (CCAM) di sini, malam tadi.

Gobind berkata, sehubungan itu Kementerian Digital, melalui agensinya, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan terus membantu CCAM dan anggotanya dalam meningkatkan agenda pengalaman pelanggan.

Menurutnya, kerajaan telah mempunyai beberapa inisiatif seperti inisiatif Malaysia Digital (MD) yang menawarkan insentif fiskal dan bukan fiskal kepada syarikat baharu dan sedia ada untuk mengembangkan operasi di Malaysia.

–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA



“Saya pasti pada masa ini, anda kebanyakannya mengambil maklum mengenai Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) yang baru dilancarkan, seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan).”Zon kewangan khas ini akan menyediakan pelepasan cukai khas dan insentif yang dihasilkan untuk membangunkan FCSFZ sebagai hab kewangan serantau pilihan, memfokuskan kepada perkhidmatan perniagaan global, teknologi kewangan dan operator sistem pembayaran asing.

“Ini satu lagi peluang untuk anggota CCAM meneroka atau mengembangkan operasi di rantau ini,” katanya.

Mengenai bakat, Gobind berkata terdapat inisiatif MD Workforce, program latihan insentif sepenuhnya untuk menggalakkan penduduk tempatan memperoleh kemahiran digital yang tepat, yang menerima permintaan tinggi.

“Inisiatif ini menyaksikan seramai 1,300 orang dilatih antara 1 Januari 2024 dan 6 September 2024,” katanya.

Gobind berkata, inisiatif Premier Digital Tech Institutions (PDTI) pula menghimpunkan penggiat utama daripada industri, universiti dan institusi pendidikan lain untuk merapatkan jurang antara permintaan industri dan penawaran bakat tempatan.

Selain membangunkan bakat tempatan, beliau berkata Kementerian Digital dan agensinya akan terus membantu ahli industri dengan keperluan sumber manusia, terutama dalam bidang pekerja berpengetahuan bukan warganegara, apabila diperlukan.

“Perkongsian awam-swasta adalah kunci untuk meningkatkan ekosistem. Dengan menyelami masalah tertentu dan cabaran penggiat industri, kita boleh menyediakan sokongan dan dasar lebih baik untuk mewujudkan persekitaran pengalaman pelanggan yang bertenaga di Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Exit mobile version