Ahli Parlimen Tampin, Dr. Hasan bin Bahrom mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia yang tidak menjawab soalan utama yang diajukan oleh beliau ketika sesi soal jawab di parlimen pada sidang yang lalu. Dr. Hasan yang juga Ahli Lembaga Pengarah UNISEL itu berkata, beliau telah menanyakan soalan berapakah jumlah guru yang ingin berhenti tugas awal dan apakah sebab guru-guru tersebut mengambil keputusan sedemikian? Malangnya jawapan KPM hanyalah menjawab jumlah mereka yang memohon berhenti tugas awal tetapi tidak dijawab sebab-sebab mereka berbuat demikian.
Kekesalan ini dinyatakan oleh Dr. Hasan yang juga Pengerusi Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional melalui satu video pendek yang dimuat naik melalui laman sosial beliau. Jawapan yang diberikan oleh KPM adalah seramai 4389 orang guru yang sedang berkhidmat memohon untuk berhenti tugas awal daripada tempoh mereka sepatutnya menamatkan perhidmatan. Situasi yang berlaku ini perlu dicermati secara terperinci oleh pihak KPM memandangkan jika tred ini meningkat pada setiap tahun, negara akan mengalami masalah kekurangan guru memandangkan guru berhenti awal tidak boleh dibuat ujuran secara jelas berbanding membuat unjuran guru pencen wajib melalui tarikh lahir mereka.
Dapatan yang dibuat secara kecil-kecilan oleh pihak Dr. Hasan menyatakan bahawa antara faktor yang mendorong guru-guru pencen awal adalah disebabkan oleh beban guru yang semakin bertambah. Pelaksanaan konsep pendigitalan juga telah memaksa guru-guru menumpukan kepada isu data berbanding meningkatkan perkembangan murid di dalam kelas. Sehingga hari ini KPM masih belum merumuskan apakah dapatan yang KPM peroleh daripada soal selidik yang diadakan untuk mengetahui mengapa guru-guru berhenti tugas awal. – Selangor Today