SelangorToday

GURU, WIRA NURAGA NUSA

PERUTUSAN SEMPENA HARI GURU 2022 OLEH JKPPH

Perayaan Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun. Ia merupakan hari penghargaan para pelajar, ibu bapa, masyarakat dan kerajaan terhadap pengorbanan guru sebagai arkitek kepada pembangunan negara. Generasi ini terbangun hasil daripada kecekalan dan kewibawaan guru-gurunya dalam mendidik anak-anak bangsa.

Sikap empati atau nuraga para guru sepanjang zaman telah menjadikan mereka sebagai wira yang ampuh dalam membina generasi pewaris nusa. Nuraga yang tinggi dan yang diterjemahkan kepada proses pendidikan demi kemenjadian murid adalah satu elemen yang penting dalam pendidikan terutamanya melalui PDP dan juga aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum.

Hakikatnya, satu pengetahuan umum yang jelas bahawa sistem pendidikan kita telah terencat dampak wabak Covid-19. Keadaan bertambah parah lagi dengan kegagalan pimpinan Menteri Kanan Pendidikan melakukan anjakan baharu demi menampung kesenjangan pendidikan yang berlaku akibat pandemik Covid-19.  Hanya retorik  yang mahu mengaburi mata masyarakat bahawa pendidikan sedang berada dalam keadaan baik. Namun hakikatnya, masih banyak kelompongan dan masalah yang menimpa sistem pendidikan seperti diakui oleh pakar-pakar pendidikan. Hal ini telah memberikan kesan yang negatif serta mendalam dalam kalangan para guru.

Sempena Hari Guru tahun 2022, tema yang dipilih oleh Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan adalah ‘Guru, Wira Nuraga Nusa’ yang bermaksud guru sebagai wira yang mempunyai empati yang tinggi terhadap rakyat dan bangsa.

Peranan guru sebagai pembentuk kemenjadian holistik generasi pewaris tidak boleh disangkal dan dinafikan.

JKPPH berpandangan bagaimana guru boleh terus lestari sebagai pendidik hakiki jika mereka berterusan dibelenggu dengan pelbagai beban, tugasan pelaporan yang melampau, dan kerja-kerja perkeranian yang tersasar dari tugas hakiki mereka sebagai pendidik?

Sehingga hari ini guru-guru terus mengeluh dengan berbagai-bagai isu yang masih gagal diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Daripada isu beban warden asrama, pengabaian guru kontrak kepada situasi bilik guru yang daif membuktikan bahawa Menteri Kanan Pendidikan bersama pasukannya gagal membela nasib guru-guru.

Justeru itu JKPPH mencadangkan beberapa perkara untuk mengangkat kedudukan guru sebagai agen pembangunan negara sekaligus menjadi golongan penjawat awam paling ramai di Malaysia:

  1. Pelaksanaan Laporan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara yang sepatutnya diluluskan oleh kabinet pada tahun 2020;
  2. Penubuhan Majlis Pemulihan Pendidikan Negara selaras dengan titah YDPA sewaktu pembukaan Parlimen pada tahun 2021 yang menitahkan agar usaha pemulihan pendidikan negara pasca wabak Covid-19 perlu bersifat terangkum dan melibatkan semua pihak dari pelbagai latar.
  3. Memberikan tumpuan untuk meringankan beban para guru dari kerja-kerja bukan hakiki. Fokus utama guru adalah untuk membina kemenjadian murid.
  4. Menyediakan lebih ramai kaunselor, dan juga membina sistem sokongan yang ampuh untuk kesejahteraan mental dan emosi para guru.
  5. Menambah jumlah pembantu guru untuk membantu guru dalam melaksanakan tugas mereka.
  6. Melibatkan kesatuan-kesatuan guru dari semua pihak dalam proses membuat keputusan dan perancangan di peringkat Kementerian.

“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”

Anggota Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan:

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi JK Pendidikan Pakatan Harapan (Ahli Parlimen Simpang Renggam, KEADILAN)

YB Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin, AMANAH)

YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai, DAP)

YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, KEADILAN)

YB Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam, DAP)

YB Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN)

YB Sivakumar Varatharaju Naidu (Ahli Parlimen Batu Gajah, DAP)

YB Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu, KEADILAN)

Exit mobile version