SelangorToday

HAK ASASI MANUSIA DAN MAQASID SYARIAH DARI UCAPAN YB SHAH ALAM

Di Dewan Rakyat minggu pertama, Kerajaan telah membentangkan Usul membahaskan Laporan Tahunan Suruhajaya Hak Asasi Manusia(SUHAKAM) untuk tahun 2021 dan 2022. Pembentangan usul tersebut dilakukan untuk mendapatkan pandangan dan teguran kesemua wakil -wakil rakyat sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Langkah ini juga mengetengahkan sikap proaktif kerajaan dalam melihat aspek Hak Asasi Manusia ditegakkan di Malaysia.

Sebelum ini laporan SUHAKAM hanyal diletakkan di atas meja ahli parlimen. Segala pertanyaan dan isu yang berbangkit dalam fikiran ahli parlimen hanya boleh disampaikan ketika perbahasan tajuk lain mahupun bertemu secara langsung dengan menteri berkenaan. Namun hari ini, Hak Asasi Manusia diangkat sebagai aspek utama yang menjadi perhatian kerajaan.

Meskipun Hak Asasi Manusia merupakan komponen dalam sistem demokrasi, kesedaran tentang konsep ini masih rendah. Ada pula dikalangan rakyat Malaysia yang melihat konsep Hak Asasi Manusia adalah acuan barat semata-mata dan tidak wajar dipegang atau dianuti oleh masyarakat Islam di Malaysia.

Namun di Dewan Rakyat, seorang ahli parlimen kerajaan telah membahaskan konsep Hak Asasi Manusia ini dalam interpretasi yang berbeza dari prespektif biasa yang selalu didengari. Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof mengetengahkan konsep tersebut yang disifatkan bahawa Hak Asasi Manusia adalah seiring dengan Maqasid Syariah.

Ucapan ini wajar diberikan perhatian oleh masyarakat memandangkan persepsi masyarakat kepada konsep Hak Asasi Manusia seperti yang dijelaskan di awal tulisan ini tadi. Memahami bahawa konsep tersebut adalah seiring dengan tuntutan agama Islam mampu mengubah pemikiran masyarakat kepada konsep tersebut. Malah ia mampu memberikan kesedaran kepada orang ramai keperluan memahami konsep Hak Asasi Manusia.

Dalam ucapan Hj Azli yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu, Maqasid Syariah menekankan beberapa prinsip dalam mengurus kemaslahatan ummah, antaranya adalah memelihara nyawa. Kata Hj Azli, memelihara nyawa termasuk menjaga maruah diri dan keadilan sosial manusia itu sendiri adalah asas kepada Hak Asasi Manusia. Jelasnya, seperti isu kewarganeraan yang menjadi indikator dalam Hak Asasi Manusia, jumlah individu yang masih tertangguh kewarganegaraannya menjadi satu kelompongan dalam memelihara nyawa.

Menyedari hakikat bahawa individu tanpa kewarganegaran akan terganggu dari semua aspek termasuk keselamatan, keadilan sosial dan kesihatan. Sebagai Wakil Rakyat, beliau berhadapan dengan ibubapa yang memerlukan sokongan beliau untuk mendapatkan hak kewarganegaraan ini. Kesan adanya individu tanpa kewarganegaraan akan mengurangkan akses individu tersebut kepada hak-hak sebagai manusia. Misalnya pendidikan akan terganggu akibat halangan kewarganegaraan, perkhidmatan kesihatan yang lebih murah mahupun percuma terlarang sama sekali buat mereka.  Jelas tuntutan memelihara nyawa selari dengan konsep Hak Asasi Manusia yang perlu mempunyai kewarganegaraanya demi meneruskan kehidupan.

Seterusnya Pengerusi Biro Pendidikan AMANAH Nasional itu mengulas laporan SUHAKAM yang menyentuh perihal pemeliharaan kestabilan sistem kehidupan manusia yang menumpukan kepada pemeliharaan alam sekitar. Kata beliau, alam sekitar yang ada merupakan anugerah tuhan yang tidak ternilai dianggap sebagai harta atau khazanah yang perlu dipelihara secara konsisten oleh manusia. Tambahan pula, alam sekitar menjadi asas penting kepada keseimbangan kehidupan manusia lantas ia wajar dipelihara selari dengan prinsip memelihara harta dalam Maqasid Syariah.

Kata Hj Azli lagi pemeliharaan alam sekitar mampu memberi kesan baik kepada kehidupan orang asal, warga emas, kaum wanita dan kanak-kanak. Penumpuan kepada aspek ini seiring dengan kehendak agama yang menyeru kepada khalifah di muka bumi untuk mentadbir bumi dengan sebaik-baiknya. Lalu Hj Azli berkata, sewajarnya kesedaran menjaga alam sekitar menjadi keutamaan khususnya orang Islam kerana ia merupakan kehendak agama. Tumpasnya penyeludupan sisa elektrik dan elektronik haram di negara kita baru – baru ini merupakan satu kejayaan yang wajar menjadi pemangkin ke arah usaha yang lebih bersepadu menjaga alam sekitar.

Dari ucapan Hj Azli itu, difahamkan bahawa Hak Asasi Manusia bertujuan untuk mengangkat kedudukan manusia itu sendiri melalui hak yang tersedia. Dalam Islam pula, mengangkat darjat manusia atau ‘karamah insaniah’ menjadi salah satu tuntutan berpaksikan kepada Maqasid Syariah. Lalu kedua-dua interpretasi  in jelas atas laluan yang bakal diambil oleh masyarakat apabila isu Hak Asasi Manusia dibicarakan.

Ucapan ini membentuk satu pendekatan yang berbeza dan sesuai dalam kontesk Malaysia MADANI. Sebagai pemimpin Parti AMANAH Negara yang bernuansakan elemen Islam Progresif, Hj Azli berjaya mengetengahkan komponen demokrasi dengan tuntutan agama Islam. Ruang lingkup kefahaman kepada agama menjadi lebih luas dan mudah difahami.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version