Hampir 6,000 unit Rumah Selangorku melibatkan 21 projek perumahan di seluruh negeri dijangka siap sepanjang tahun ini
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor berkata jumlah itu termasuk satu projek Rumah Idaman Bandar Saujana Putra di Kuala Langat membabitkan 1,312 unit yang dimajukan Seribu Baiduri Sdn Bhd.
“Semua projek berjalan sejak beberapa tahun lalu dan lebih separuh daripadanya dijangka siap pada enam bulan pertama ini. Apabila siap, kita akan segerakan pemberian kunci supaya pemilik dapat mendiami.
“Kerajaan Negeri turut memfokuskan pembinaan semula rumah terbengkalai serta membaik pulih kemudahan di kediaman projek perumahan rakyat,” kata Borhan Aman Shah ketika dihubungi.
Sejak 2014 hingga hujung tahun lalu, Kerajaan Negeri meluluskan pembangunan 245,371 unit Rumah Selangorku.
Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, 57,185 unit kediaman dibangunkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta pemaju swasta dan anak syarikat Kerajaan Negeri.
Manakala 188,186 unit lagi dalam proses perolehan kelulusan perancangan pembangunan dari jabatan dan agensi teknikal peringkat negeri serta pihak berkuasa tempatan. – SelangorKini