
Lebih 400 sekolah tahfiz yang beroperasi di negeri ini menyertai program permutihan 2.0 kendalian Persatuan Institusi Tahfiz Selangor (Pitas).
EXCO Agama Islam Dr Mohd Fahmi Ngah berkata jumlah itu merangkumi kira-kira 80 peratus daripada 606 sekolah aliran agama persendirian yang dikesan.
“Selepas ini kita nak kenal pasti syarat-syarat ketat dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya dapat menyelesaikan masalah, malah saya sedia jumpa EXCO, PBT untuk bincang perkara ini dan pastikan mereka dapat kebenaran beroperasi.
“Bagaimanapun mana-mana pusat yang sedar mereka sememangnya tidak layak, mereka perlu akur hentikan operasi. Cari tapak baharu dan kita juga sedia bantu untuk keselesaan anak tahfiz,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak Huffaz Selangor ke-18 dan sambutan jubli perak Pitas di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.
Fahmi berkata penyertaan sekolah tahfiz dalam program berkenaan dapat menjaga keselamatan warganya selain memudahkan pengurusan mendapat sumbangan dari mana-mana pihak.
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam (Jais) sebelum ini melaksanakan program pemutihan bagi memastikan institusi tahfiz persendirian mematuhi syarat minimum kebenaran merancang oleh PBT.
Ia bagi membantu pengusaha tahfiz persendirian meneruskan operasi secara sementara, seterusnya menerima bantuan Jais. – SelangorKini