Naib Presiden AMANAH berkata, setiap tahun hampir RM 60 bilion wang negara mengalami tiris yang menyebabkan negara mengalami kerugian yang besar. Ketika menyampaikan ceramah isu semasa di Baling, Kedah, Adly Zahari yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, Malaysia ketinggalan jauh dari segi pembangunan berbanding Singapura yang jelas tidak mempunyai sumber alam yang banyak. Malangnya Malaysia yang kaya dengan hasil bumi masih duduk dilembah kemiskinan berpunca daripada ketirisan wang yang berlaku dalam negara.
Menegaskan kewujudan AMANAH adalah untuk membangunkan kembali bangsa melayu, Adly berkata model melayu yang digunakan oleh UMNO selama 65 tahun ini tidak langsung berkesan. Malah melayu yang berada dibawah kerajaan UMNO masih kekal miskin dan gagal keluar daripada kesusahan. Isu LCS yang baru didedahkan sebulan dua ini menunjukkan bahawa setiap masa UMNO akan mengambil peluang yang ada untuk memanipulasi wang negara demi kepentingan hidup masing-masing. Setelah skandal 1MDB meletus, kini skandal LCS yang melibatkan keselamatan negara dirobek oleh pimpinan melayu yang ada dalam UMNO.
Sebab itu ADUN Bukit Katil itu menegaskan bahawa kewujudan AMANAH adalah untuk menyelematkan masa depan orang melayu. Prinsip amanah yang dibawa oleh AMANAH dalam setiap tanggungjawab yang diberikan akan mengurangkan masalah ketirisan wang negara. Malah dengan sifat amanah, mereka yang benar-benar memerlukan akan mendapat hak mereka tanpa diskriminasi bangsa mahupun agama. Menegaskan bahaw isu ketirisan dan kecurian wang negara adalah isu besar, Adly berhujah bahawa kesannya boleh dilihat kepada kos sara hidup yang tinggi, harga makanan yang meningkat serta keadaan ekonomi yang lemah. – Selangor Today