SelangorToday

HAMPIR RM20 JUTA DIBELANJAKAN MEMBERSIHKAN KAWASAN BANJIR

Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Yang Berhormat Ng Sze Han memaklumkan bahawa hampir RM20 Juta telah dibelanjakan untuk melakukan proses pembersihan akibat banjir yang melanda Negeri Selangor hujung tahun lalu. Perbelanjaan itu melibatkan operasi pembersihan fasa 1 dan 2 di Selangor.

Ng Sze Han, Exco Kerajaan Tempatan Selangor

Ketika menjawab soalan wartawan, Ahli Dewan Negeri Kinrara itu menyatakan angka yang paling tepat masih belum dikenal pasti, namun sudah hampir RM20 Juta telah dibelanjakan termasuk diberikan kepada KDEB Waste Management, pihak berkuasa tempatan dan Worldwide Holdings. “Kita bayar kepada Worldwide Holdings kerana sejak pembersihan banjir mereka terpaksa mewujudkan satu kawasan khas di Jeram untuk meletakkan sisa sampah banjir sahaja,” kata beliau.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga merancang memperluaskan longkang dan meninggikan ban di beberapa kawasan terjejas bagi mengurangkan risiko banjir pada masa datang. Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir. Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Exit mobile version