SelangorToday

HANNAH YEOH MAHU PENAMBAHBAIKAN STRUKTUR UNTUK PERKUKUH KONTINJEN SUKAN

KUALA LUMPUR, 6 Mac -- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bercakap pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Genting Malaysia Berhad dan Akademi Hospitaliti DHS di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara hari ini. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bengkel pascanilai Sukan Asia Hangzhou 2022 mendapati beberapa penambahbaikan struktur perlu dilakukan supaya adanya konsistensi dan peningkatan prestasi bagi kontinjen negara pada temasya akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang mempengerusikan bengkel berlangsung kira-kira lapan jam itu berkata, semua maklum balas diterima akan diperhalusi bagi meraih prestasi yang baik pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata antara cadangan dan maklum balas diterima adalah program latihan bermula lebih awal, latihan sepenuh masa berbanding secara sambilan, penambahbaikan kemudahan serta peningkatan gaji atau elaun jurulatih.

“Banyak maklum balas kita terima hari ini. Kita akan teliti semua dan buat penambahbaikan seperti yang telah dilaksanakan untuk Sukan SEA Kemboja,” katanya kepada pemberita selepas bengkel berkenaan di sini hari ini.

Bengkel pascanilai itu turut dihadiri Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Asia Datuk Chong Kim Fatt dan wakil daripada semua sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) Jepun, yang mempunyai jalinan kerjasama dengan MSN.

Hannah berkata pada bengkel itu, wakil daripada sukan bertanding di Hangzhou, yang terlebih dahulu menghantar laporan diminta untuk menjawab beberapa perkara dan memberi maklum balas mereka.

“Selepas ini kita akan duduk dengan NSSU untuk melihat dan mendengar pandangan mereka. Hari ini mereka (wakil NSSU) mendengar dan ada tanya soal: selepas ini kita akan duduk dengan mereka untuk melihat secara spesifik,” katanya

Pada Sukan Asia Hangzhou di China pada 23 Sept hingga 8 Okt lepas, Malaysia meraih enam emas, lapan perak dan 18 gangsa untuk menamatkan saingan tempat ke-14 keseluruhan.

— BERNAMA

Exit mobile version