Skuad sepak takraw lelaki negara menerima insentif khas keseluruhan berjumlah RM170,000 susulan kejayaan memenangi dua pingat emas dan satu perak pada saingan Piala Dunia 2024, minggu lalu.
Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Beliau, berkata pasukan double dan regu yang memenangi emas menerusi kemenangan ke atas Thailand di pentas final masing-masing akan menerima sebanyak RM60,000 manakala bagi acara berpasukan yang meraih perak diberi ganjaran RM50,000.
“Ini adalah insentif khas daripada MSN (Majlis Sukan Negara) dan bukannya melalui SHAKAM (Skim Hadiah Kemenangan Sukan). Ini kerana kejohanan ini bukan kejohanan utama yang diletakkan oleh PSM (Persatuan Sepaktakraw Malaysia) sebagai kejohanan utama.
“Namun, saya menggunakan budi bicara saya sebagai menteri untuk memberikan insentif khas ini kerana kita tahu Piala Dunia sepak takraw ini sangat besar maknanya untuk rakyat Malaysia dan atlet.
“Kita tahu atlet sudah bekerja keras untuk memenangi emas,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan kepulangan atlet boling padang para di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) di sini, hari ini.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai permintaan PSM untuk memiliki stadium sepak takraw sendiri, Hannah, berkata pihaknya bersama persatuan akan mengadakan perbincangan bersama pihak universiti tempatan yang mempunyai banyak tanah.
“Kita ada 103 jenis sukan yang diwartakan, kalau boleh memang saya mahu padankan satu sukan itu ada tempat latihan sendiri tetapi untuk satu sukan dapat satu stadium agak sukar sebenarnya.
“Jadi, apa yang kita akan buat adalah kita bersama persatuan berbincang dengan universiti kerana sekarang ini kita memang banyak jalinkan kerjasama dengan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi).
“KPT ini ada banyak tanah untuk sukan dan bila tiada kejohanan pelajar-pelajar boleh gunakan. Saya rasa itu kaedah yang paling efektif,” katanya.
Ditanya mengenai satu lagi permintaan yang mahu sepak takraw dikembalikan sebagai sukan teras, Hannah, berkata: “Saya tahu PSM banyak permintaan sekarang kerana mereka sedang menunjukkan kejayaan.
“Perkara ini sedang dibincangkan di peringkat MSN kerana kita mahu pastikan bukan sahaja di peringkat KBS, tetapi kita kena ada kesinambungan di peringkat KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia),” kata Hannah.
Sebagai rekod, sepak takraw bersama angkat berat dan taekwondo adalah tiga sukan digugurkan MSN daripada senarai sukan teras negara pada 2017, berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan peningkatan berdasarkan semakan semula, termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan itu sejak 2007. – Berita Harian