Syarikat selenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) membaik pulih kerosakan jalan dalam tempoh 24 jam di Jalan Raja Musa, Tanjong Karang semalam.
Agensi itu berkata kerja tampalan sementara dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam di laman X, #INFRASEL.
“Kerja menampal ‘pothole’ (lubang jalan) segera dilakukan secara tampalan sementara sebelum kaedah tampalan kekal dilaksanakan di Jalan Raja Musa, Tanjong Karang, dalam tempoh 24 jam hasil aduan orang ramai,” katanya menerusi laman X.
Orang ramai diminta terus membuat aduan dengan memuat naik ciapan di laman X bersama tanda pagar #INFRASEL #NamaJalan #Daerah (jika) berlaku kerosakan jalan raya.
Pada 22 Ogos lalu, Eksekutif Operasi Infrasel Abdullah Hanif Abd Ghalib memaklumkan pelaksanaan 93 projek baik pulih jalan secara besar-besaran di seluruh negeri sudah mencapai 86 peratus.
Katanya pembaikan jalan menerusi Projek Turapan Mega dengan kos RM50 juta memberi keutamaan jalan yang perlu dibaiki selain mengambil kira aduan orang awam.
Pada 9 Julai, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan projek turapan melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pejabat daerah dan tanah (PDT).
Jalan terlibat meliputi 66 di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (8).
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berskala besar dengan dana RM50 juta diperuntuk bagi memastikan jalan raya negeri berada dalam keadaan baik. – SelangorKini