Site icon SelangorToday

Hanya 30 daripada 115 ladang babi masih beroperasi di Tanjung Sepat – Exco

izham

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedang giat menjalankan proses pengosongan ladang babi secara besar-besaran di Tanjung Sepat, Kuala Langat dengan jumlah yang masih beroperasi merosot mendadak daripada 115 kepada kira-kira 30 ladang sahaja buat masa ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, langkah drastik itu diambil terutamanya melibatkan kawasan yang dikesan positif dijangkiti penyakit wabak demam babi Afrika (ASF).

Izham menjelaskan, kerajaan negeri tetap memberi ruang secara berperikemanusiaan namun tegas dengan dasar sedia ada.

“Penternak (babi) sudah tahu dasar kita iaitu tidak boleh lagi meneruskan (penternakan) di lokasi tersebut,” katanya ketika ditemui di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, Izham menjelaskan, bagi ladang yang masih negatif penyakit, pihaknya masih memberi masa untuk proses pengosongan.

“Kalau ada anak babi yang baru lahir, takkan kita nak lupus terus, jadi kita beri masa untuk ia besar sedikit sebelum dibawa keluar (untuk proses pelupusan),” ujarnya.

Beliau menegaskan, tindakan pengosongan bukan bermaksud kerajaan negeri mahu mengharamkan industri penternakan babi, sebaliknya ingin memastikan ia diuruskan dengan lebih sistematik dan lestari.

“Saya ada bentangkan beberapa cadangan penambahbaikan semasa MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) pagi tadi (Jumaat) dan akan mengadakan dialog dengan persatuan terlibat bagi memberi kefahaman kepada mereka, kita bukan hendak mengharamkan penternakan babi.

“Kita faham babi itu haram dimakan (umat Islam), tapi maksudnya di sini kerajaan bukan nak haramkan penternakan, cuma kita mahu urus dengan baik pada masa depan,” katanya.

Menurut Izham, pengurusan yang tidak lestari akan menyebabkan pelbagai penyakit muncul sekali gus merugikan penternak dalam jangka masa panjang.
Ujar beliau, bekalan import berjalan seperti biasa sama ada dalam bentuk hidup atau beku dan ia bukan merupakan satu isu besar buat masa ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Izham memaklumkan, Selangor bebas daripada virus Nipah, tetapi masih mengawal wabak ASF yang hanya menjangkiti haiwan tersebut dan tidak berjangkit kepada manusia.

Katanya, kesan daripada wabak ASF terhadap babi hutan turut menyebabkan gangguan ekosistem di hutan.

“Kita terima laporan harimau sudah mula keluar ke pinggiran hutan disebabkan babi hutan banyak yang mati akibat ASF sekali gus menyebabkan sumber makanan pemangsa itu berkurangan,” tambah beliau.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Isnin lalu memaklumkan, Selangor memutuskan untuk menangguhkan dan membatalkan sementara sebarang cadangan melibatkan pembangunan berkaitan ladang penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor berikutan bantahan keras penduduk serta keperluan penelitian lebih menyeluruh.

Exit mobile version