SelangorToday

HARAPAN ADAKAN KONVENSYEN NASIONAL 29 OKTOBER, GEMPUR NEGERI SELADANG

Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengadakan Konvensyen Pakatan Harapan Nasionalnya di negeri Perak Darul Ridzuan pada 29 Oktober 2022. Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan HARAPAN, Teo Nie Ching, Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju untuk mengadakan Konvensyen Pra-Pilihan Raya itu di negeri Dato Maharaja Lela. Dalam masa yang sama, HARAPAN bersetuju melantik bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming sebagai Pengarah Konvensyen Pakatan Harapan ini memandangkan Kor Ming juga adalah Pengerusi DAP Perak.

Teo Nie Ching, Ketua Penerangan HARAPAN

Sebelum ini, melalui Resolusi Seremban yang dikeluarkan oleh HARAPAN menyatakan bahawa sebelum Konvensyen Nasional yang bakal diadakan, HARAPAN akan menyelesaikan pembahagian kerusi untuk semua parti-parti komponen yang terlibat. Malah berkemungkinan semasa konvensyen itu nanti logo HARAPAN yang dijenamakan semula turut diperkenalkan kepada umum. Tema dan manifesto HARAPAN untuk PRU ke-15 juga akan mula dilancarkan di Konvensyen tersebut. Maka pelaksanaan konvensyen ini pastinya akan memperlihatkan kesepaduan dan kesediaan HARAPAN untuk memerintah Malaysia sekali lagi.

Seiring dengan konvensyen yang diadakan, HARAPAN akan mengadakan jelajah dan ceramahnya di sekitar Perak melibatkan parlimen Lumut, Tapah, Tambun dan Parit Buntar. Ceramah yang akan melibatkan semua pimpinan utama HARAPAN akan diadakan pada malam 28 Oktober 2022 demi merapatkan saf serta menyemarakkan semangat rakyat dalam menghadapi PRU akan datang. – Selangor Today

Exit mobile version