Ketua AMANAH Kawasan Selayang, Wan Anwar Wan Ibrahim bertegas mahu semua jentera HARAPAN di Selayang menggembleng seluruh usaha dan kekuatan yang ada untuk memenangkan calon HARAPAN di Selayang. Tambah Wan Anwar memandangkan jumlah pengundi selayang telah meningkat berkali ganda, tanggungjawab jentera HARAPAN adalah memastikan seseiapa sahaja yang dicalonkan di Parlimen Selayang mewakili HARAPAN perlu mendapat undi lebih 50 ribu undi. Beliau berucap dalam program Pelancaran Jentera HARAPAN Selayang di Rawang Jumaat lalu.
Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor (KomSel) itu juga berkata, buat para pengundi, Pilihan Raya Umum kali ini mempunyai makna yang lebih besar berbanding PRU yang lalu, setelah menempatkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak ke penjara atas kesalahan yang dilakukan, PRU kali ini menjadi medan untuk rakyat menghumban ahli politik yang membakul sampahkan mandat rakyat apabila Langkah Sheraton dilakukan pada februari 2020. Jelas perbuatan itu mengkhianati kepercayaan rakyat. Meskipun rakyat bosan dengan aksi politik ini, mereka perlu keluar mengundi kali ini bagi mematikan langkah katak-katak politik ini.
Wan Anwar turut berhujah, dengan tekanan yang diberikan oleh ahli parlimen HARAPAN di Dewan Rakyat, Akta Anti- Lompat parti berjaya dikuatkuasakan, sekaligus menamatkan drama politik melompat di Malaysia ini. Hasil usaha yang dijalankan oleh HARAPAN, kerajaan Mahiaddin dan Ismail Sabri tunduk pada desakan kita. Wan Anwar juga menempelak UMNO/BN yang kononnya menuduh HARAPAN akan membanzirkan wang rakyat apabila diadakan PRU dan PRN berasingan, sedangkan pihak yang memulakan PRN secara berasingan ini adalah UMNO/BN. Rakyat tidak buta apabila UMNO/BN yang sedang bergaduh sesama sendiri di Melaka dan Johor tetapi sanggup membubarkan DUN bagi mendapat tempat melalui perlumbaan sesama mereka sendiri. Akhirnya rakyat yang menderita kerana lagak politik UMNO/BN. Jika HARAPAN bubarkan negeri-negeri mereka sekalipun, belanja yang tetap meningkat apabila 4 negeri lain akan terbubar berasingan pada tahun-tahun akan datang. – Selangor Today