SelangorToday

HARAPAN SABAH BELUM ADA RAKAN SEKUTU PRN, SOKONG NEGERI SELESAI ISU MA63

Pakatan Harapan (PH) Sabah masih belum membincangkan sebarang persefahaman atau kemungkinan gabungan baru dibentuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut kenyataan media dikeluarkan hari ini berkata, PH Sabah menyedari terdapat banyak laporan serta spekulasi berkenaan rakan gabungan Politik PH Sabah dalam menghadapi PRN.

“PH Sabah tetap kekal sebagai sebahagian Kerajaan Negeri serta menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. Kami ingin mahu melihat kerajaan ini mencapai tempoh penuh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, PH Sabah menggesa agar semua pihak memberi tumpuan kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat di bawah Kerajaan Madani.

Dalam kenyataan yang sama PH Sabah menyokong pendirian serta keputusan kerajaan negeri Sabah berhubung dengan tindakan mahkamah Persatuan Undang-undang Sabah (SLS).

PH Sabah memahami serta menghormati sepenuhnya keputusan diambil SLS dalam membawa isu 40 peratus hak perlembagaan Sabah ke mahkamah dalam permohonan Semakan Kehakiman mereka.

“PH Sabah kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah bertekad untuk memastikan perkara ini diselesaikan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan dan Jawatankuasa Teknikal (Jawatankuasa MA 63) masing-masing diketuai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kedua.

“PH Sabah memandang positif tindakan SLS terus didengar di mahkamah dengan komitmen Kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu MA63 melalui penubuhan Jawatankuasa MA63 dengan wakil daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik ke jawatankuasa tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu menyebut, walaupun Pendekatan berbeza namun mempunyai matlamat sama iaitu memastikan hak perlembagaan Sabah dalam MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya.

Exit mobile version