Kerajaan Negeri bakal menganjurkan Fiesta Kebudayaan Selangor 2022 dibawah Rentak Selangor, membabitkan lima program utama sepanjang Oktober hingga Disember ini.
EXCO kebudayaan dan warisan berkata antara program yang akan diberi tumpuan adalah cubaan mencatat rekod dalam Malaysian Book of Records (MBOR) bagi Fiesta Nasi Ambeng Selangor pada Disember.
“Dalam program itu, kita akan hidangkan sebanyak 2,022 dulang nasi ambeng sempena tahun 2022. Kita cadangkan ia diadakan di Bagan Lalang, Sepang.
“Bagaimanapun, saya cuma bimbang dengan cuaca kerana ada ramalan mengatakan ada bencana pada penghujung tahun ini. Kita doakan semuanya berjalan lancar,” kata Borhan Aman Shah.
Selain Fiesta Nasi Ambeng Selangor, beliau berkata, empat program lain adalah Pertandingan Cempuling Selangor, Pertandingan Wau Kapal Selangor, Pertandingan Keroncong Selangor, dan Konsert Rentak Selangor.
Menurutnya, Konsert Rentak Selangor akan diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada November ini bersama tetamu jemputan istimewa yang akan diumumkan kelak.
“Kita bercadang untuk mengundang barisan artis tempatan dan aktivis kesenian dari setiap daerah di Selangor dalam konsert itu nanti,” katanya.
Kerajaan Negeri sebelum ini melancarkan program Rentak Selangor bagi mempromosikan aktiviti seni dan kebudayaan setiap daerah di negeri ini.
Program itu juga membantu mendekati penggiat seni bagi mempromosi seni budaya kepada pelancong menerusi kerjasama dengan Tourism Selangor.