Seramai 4,698 anak kurang upaya di negeri ini menerima manfaat menerusi pelbagai program Anak Istimewa Selangor (Anis) pada tahun lepas.
Ketua Jabatan Anis Danial Al-Rashid Haron berkata bantuan dan manfaat tersebut disalurkan menerusi peruntukan RM3 juta yang diberikan Kerajaan Negeri.
“Jumlah itu merangkumi 692 penerima bantuan Anis, melatih 2,700 peserta Akademi Anis, 26 pelajar diterima masuk Pusat Anis, 1,200 penerima bantuan orang kelainan upaya (OKU) serta 80 pusat menerima bantuan Didik Anis.
“Malah laman sesawang Anis juga diakses lebih 14,000 pengguna pada tahun lalu,” katanya ketika memberi taklimat kepada pemberita sempena program Pusat Sokongan Kehidupan Berdikari (ILCS) di Hotel De Palma.
Kerajaan Negeri mengutamakan kebajikan anak OKU melalui pelbagai program bantuan Anak Istimewa Selangor (AnIS) sejak empat tahun lalu.
Dato’ Menteri Besar sebelum ini memaklumkan sebanyak RM3 juta diperuntuk bagi melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi AnIS pada tahun 2022.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara usaha dilaksanakan adalah menubuhkan Akademi AnIS selain memberi bantuan kewangan untuk menjayakan program Didik AnIS.