SelangorToday

HARAPAN SELANGOR SUMBANG RM10,000 HARGAI PENGORBANAN VETERAN ATM

Kerajaan Negeri menyumbang RM10,000 kepada Badan Kebajikan Bekas Perajurit Sungai Buloh sebagai tanda penghargaan atas jasa dan bakti memelihara keamanan negara.

EXCO pembangunan modal insan berkata bantuan itu membuktikan keprihatinan pentadbiran negeri terhadap golongan terbabit selaras dasar Selangor Smart and Caring (SAC).

Mohd Khairuddin Othman mengakui nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) harus dibela berikutan banyak isu tular di media sosial yang menyentuh soal kebajikan golongan berkenaan sejak akhir-akhir ini.

“Antara keperluan kita berikan sumbangan ini supaya mereka mendapat pembelaan hidup yang lebih baik. Insya-Allah tahun depan kita akan serah RM20,000,” katanya selepas majlis menghargai jasa veteran ATM peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh di sini hari ini.

Dalam majlis itu Mohd Khairuddin menyerahkan cek cura kepada penasihat badan berkenaan Zainuddin Kasah sambil disaksikan Yang Dipertuanya Mejar Bersara Azmi Mohd.

Mohd Khairuddin Othman (tengah) menyerahkan cek cura bernilai RM10,000 kepada Penasihat Badan Kebajikan Bekas Perajurit Sungai Buloh 

Terdahulu, seramai 300 ahli persatuan terbabit diraikan dalam acara yang bertujuan mengeratkan ukhuwah antara Kerajaan Negeri serta bekas perajurit.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin yang juga wakil rakyat kawasan terbabit meminta kerajaan persekutuan meneliti kemelut dihadapi veteran ATM supaya profesion ketenteraan tidak terjejas terutama dalam kalangan anak muda yang meminatinya.

Exit mobile version