Usaha meningkatkan taraf ekonomi dan kebajikan nelayan serta petani antara tumpuan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) jika dipilih sebagai ahli parlimen Sungai Besar.
Saipolyazan M Yusop berkata tawaran itu hasil tinjauan dan pertemuan bersama warga tani ketika program turun padang bagi memastikan kehidupan mereka lebih baik dan terjamin.
“Saya telah melawat perkampungan nelayan dan mereka bimbang pendapatan sering terjejas apabila berlaku ribut kerana ada sampan yang rosak. Pesawah juga bimbang hasil tuaian berkurangan memberi kesan kehidupan mereka,” katanya ditemui di Sekinchan, Sabak Bernam.
Menurutnya, aspek berkenaan sebahagian daripada 10 tawaran untuk membantu pengundi Parlimen Sungai Besar yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, Saipolyazan akan memanfaat sepenuhnya pengalaman ketika menerajui Lembaga Zakat Selangor untuk membantu asnaf dan mereka yang memerlukan.
“Saya juga berhasrat meningkatkan industri kecil dan sederhana (IKS) penduduk di sini dan merancakkan aktiviti pelancongan,” katanya lagi.
Beliau berdepan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos (Barisan Nasional) dalam saingan empat penjuru pada pilihan raya kali ini.