Pakatan Harapan (HARAPAN) memberikan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berhubung anti lompat parti.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan mengadakan mesyuarat di Parlimen hari ini dan mengambil pendirian menyokong penuh Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berhubung anti lompat parti,” menurut kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan itu dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohammad Sabu; Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Rang undang-undang itu bakal dibentangkan di Parlimen hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.
Sesi penggulungan pada hari berikutnya pula oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Hari ini berlangsungnya sesi libat urus membabitkan ahli Parlimen pembangkang bersama Wan Junaidi di bangunan Parlimen.
Rang undang-undang itu adalah antara perkara dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan HARAPAN pada September tahun lalu bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan mendukung semangat Keluarga Malaysia.
Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata rang undang-undang itu hanya akan melibatkan wakil rakyat dan bukan senator kerana ahli Parlimen mendapat mandat daripada rakyat di kawasan mereka dan ia perlu dilaksanakan.
“Undang-undang yang akan digubal ini adalah satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan akta yang khusus supaya ia kekal dan sukar dicabar.
“Sehubungan itu, penggubalan rang undang-undang ini perlu dilaksanakan dengan teliti supaya ia dapat diguna pakai untuk tempoh yang lama dan tidak mudah untuk dipinda,” katanya.