SelangorToday

HARGA DURIAN RUNTUH BAGI BUAH TEMPATAN DI MAHA

Bagi peminat buah-buahan tempatan, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Laman Agro Nanas bertempat Laman Agro Nanas, Zon 6 MAEPS sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini.

Apa yang menariknya sebahagian besar daripada 16 varian nanas yang ditanam di negara ini dipamer dan dijual sama ada dalam bentuk buah, produk makanan dan juga kecantikan.

Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Linda Buang berkata, antara yang dijual termasuklah yang bermutu tinggi iaitu MD2, Yankee dan Moris.

Menurutnya, pameran kali ini juga buat julung kali LPNM menampilkan inovasi nanas terbaharu itu Sarawak Gold.

“Varian nanas yang ada ditanam di atas tanah seluas tiga ekar di sini termasuklah Josapine, Dinar, IPRS, MS16, Hijau dan Mas Merah.

“Pengunjung bukan sahaja boleh melihat dengan lebih dekat ladang nanas tetapi boleh merasai keenakkan nanas menerusi reruai dan gerai jualan nanas yang dibuka sepanjang MAHA berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya lagi, dua biji nanas MD2 seberat 1.2 hingga 1.3 kilogram (kg) dijual pada harga serendah RM10 berbanding harga pasaran kira-kira RM6 sekilo.

“Harga runtuh MD2 ini hanya boleh diperolehi pada MAHA dan pengunjung bertuah juga berpeluang memenangi hadiah menerusi pertandingan kuiz dan permainan yang diadakan.

“LPNM juga membuka peluang tunjuk ajar kepada usahawan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai proses penanaman serta pemperolehan biji benih, baja dan sebagainya,” katanya.

Menerusi pusat informasi juga pelbagai maklumat mengenai buah-buahan itu dipaparkan bagi memberi kemudahan kepada pengunjung mengenali dengan lebih dekat khasiat dan kegunaan buah itu.

“Selain buahnya yang boleh dimakan, daun dan serat nanas boleh digunakan untuk dijadikan benang dan hasil kraf.

“Pada ruang galeri kita menerangkan konsep sekali tanam tiga kali tuai iaitu tuaian pertama buah, kedua benih dan ketiga sisa,” kata Linda.

Beliau berkata, sisa daun dan serat nanas boleh dijadikan baja dan makanan ternakan. Malah ianya juga boleh digunakan untuk menghasilkan benang dan kertas yang boleh menghasilkan kain songket, beg tangan, tali leher dan produk kraf yang lain.

Jelasnya, kesemua produk itu dihasilkan dengan tangan sepenuhnya dan harganya boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit. – Sinar Harian

Exit mobile version