Lebih 700 penduduk setempat telah mengambil peluang mendapatkan pelbagai khidmat awam dan bantuan komuniti sempena Hari Bertemu Pelanggan DUN Meru yang berlangsung hari ini di Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Meru. Program anjuran Pejabat ADN Meru ini merupakan inisiatif berterusan Hjh Mariam Abdul Rashid dalam memastikan kebajikan dan keperluan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
Dalam usaha mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat, sebanyak 300 baucar bantuan Selangor Mesra Usia Emas (SMUE) dan Selangor Mesra Insan Istimewa (SMIS) telah diserahkan kepada penerima yang layak. Bantuan ini merupakan salah satu bentuk sokongan Kerajaan Negeri Selangor dalam meringankan beban golongan sasar.

Menurut Mariam, pendekatan turun padang melalui Hari Bertemu Pelanggan adalah penting bagi mendengar sendiri keluhan dan keperluan penduduk.
“Kita mahu pastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya serta golongan muda, tidak terpinggir daripada menerima bantuan dan akses kepada perkhidmatan kerajaan. Inilah komitmen Kita Selangor – memastikan pembangunan yang inklusif dan berteraskan rahmah,” ujar beliau.
Program ini turut melibatkan pelbagai agensi penting seperti Lembaga Tabung Haji, KWSP, PERKESO, SADE, PDRM, kaunter guaman dan beberapa lagi yang membuka kaunter untuk memudahkan urusan komuniti setempat. Kehadiran kaunter-kaunter ini amat dihargai penduduk kerana memberi peluang kepada mereka menyelesaikan urusan tanpa perlu ke pejabat-pejabat berasingan.
Kejayaan program ini turut didokong oleh kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Amanah Kapar, sayap AWAN dan Pemuda, serta jaringan akar umbi seperti JPKK Kampung Meru, Kampung Budiman, PWB, PeBS, SUKA, KKI dan para sukarelawan yang membantu melancarkan perjalanan program.
Mariam turut menyatakan komitmen untuk meneruskan program seumpama ini secara berkala.
“Insya-Allah, Hari Bertemu Pelanggan akan dianjurkan lagi pada bulan Julai nanti. Kami mahu pastikan tiada rakyat yang tercicir daripada mendapat manfaat dan sokongan sewajarnya,” katanya.
Program ini membuktikan kesungguhan Mariam dan Kerajaan Negeri dalam membawa khidmat terus kepada rakyat, seiring dengan semangat Malaysia Madani dan aspirasi Selangor Maju Bersama.