SelangorToday

HARI OKU : DANIAL MELALUI MTOS TEKAD PERKASA AKSES GOLONGAN OKU

Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor (MTOS) tekad memperluas akses golongan OKU supaya mereka diberi peluang sama rata dengan individu lain.

Pengerusinya Danial Al-Rashid Haron berkata pelbagai dasar dan inisiatif dirancang dan dilaksana bagi memperkasa golongan OKU dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, pekerjaan, infrastruktur dan kebajikan.

“Masih terdapat pelbagai cabaran yang perlu diatasi dalam mencapai masyarakat yang benar-benar mesra OKU. Oleh itu, kami komited memperluas akses pendidikan supaya golongan ini diberi peluang sama rata.

“Kita juga akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan majikan melalui program latihan dan insentif supaya golongan OKU dapat memainkan peranan penting dalam sektor pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Danial Al-Rashid berkata fasiliti awam seperti masjid, sekolah dan pusat komuniti yang lebih mesra OKU turut ditingkatkan dengan menyediakan teknologi bantuan yang bersesuaian.

Jelasnya, kesejahteraan rohani OKU juga akan ditingkatkan menerusi pelaksanaan program khas seperti pembelajaran agama mengikut keperluan supaya hak beragama dapat dipertahankan.

“Kita di Selangor berazam untuk memastikan tiada siapa tertinggal dalam pembangunan negeri yang adil dan sejahtera, golongan OKU bukan sahaja dilindungi haknya, tetapi berpeluang menyumbang secara aktif dan produktif dalam komuniti.

“Sekali lagi, saya mengucapkan Selamat Hari OKU Sedunia 2024 kepada semua. Semoga usaha kita untuk memperkasakan OKU akan terus diberkati dan memberi dampak positif yang berpanjangan,” katanya. – SelangorKini

Exit mobile version