Ahli Parlimen Hulu Langat, Yang Berhormat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus memuat naik video perbahasannya di Parlimen sebelum-sebelum ini berkaitan dengan keluhan beliau melihat permasalahan di Hulu Langat. Rupanya, sudah berkali-kali Hasanuddin yang juga Naib Presiden AMANAH memaklumkan berkaitan kekurangan yang dihadapi oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Natijahnya, apabila banjir melanda Hulu Langat, apa yang diucapkan oleh Hasanuddin terserlah.
Antara yang dibangkitkan adalah infrastuktur kemudahan asas dan kebanjikan anggota APM dan JKM tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab. Dengan kekurangan infrastruktur itu, telah merencatkan perjalanan operasi APM dan JKM semasa banjir melanda. Tambah beliau, penambahan staf APM dan JKM menjadi indikator penting dan selalu dibangkitkan oleh beliau. Kekurangan tenaga manusia boleh menyebabkan bencana alam yang melanda sesuatu kawasan yang memberi impak negatif yang lebih besar.
Usaha Hasanuddin sentiasa berterusan termasuklah membawa isu ini ketika berada dalam Kamar Khas Dewan Rakyat. Akhir sekali, beliau yang juga Pengerusi Biro Kebajikan AMANAH mahu elaun petugas APM dan JKM ditambah memandangkan tugas dan beban mereka semakin besar dan meluas.