Usaha memulihkan kedudukan fiskal negara antara faktor utama cadangan penjawat awam baharu berstatus tetap tidak lagi menerima skim pencen persaraan.
Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda berharap isu ini tidak dipolitikkan kerana ini soal reformasi fiskal dan penting untuk negara.
“Yang ketiga terbesar ialah bayaran pencen juga ganjaran untuk persaraan yang mencecah RM 32 bilion setahun.
“Jumlah ini merupakan kenaikan dua kali ganda berbanding 10 tahun yang lalu.
“Sekiranya sistem ini tidak diubah mungkin dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita perlu membelanjakan RM 60 hingga RM 70 bilion setahun hanya untuk pencen sahaja”, kata Hasbie yang ditemui semasa program Selamat Pagi Malaysia (SPM).
Tambah Ketua Pemuda AMANAH itu, Kerajaan terpaksa memikirkan langkah terbaik bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan agar dapat disalurkan kepada tujuan lain yang lebih memberikan manfaat kepada rakyat.
” Jadi kerajaan harus memikirkan sistem yang lebih baik supaya kerajaan dapat menggunakan wang yang ada untuk tujuan lain yang lebih besar manfaatnya”, kata Hasbie.
Hasbie turut mencadangkan penamatan skim pencen ini dilakukan secara beransur-ansur bermula di peringkat profesional kerana dari sudut literasi dan pengurusan kewangan golongan ini dilihat lebih baik. – Berita RTM