SelangorToday

HASBIE TEMPELAK PIHAK PERLEKEH USAHA KERAJAAN PERPADUAN BASMI KEMISKINAN

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Senator Hasbie Muda menempelak sesetengah pihak yang memperlekehkan usaha kerajaan perpaduan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di Malaysia. Sebelum ini, Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah mengumumkan langkah kerajaan bagi memastikan golongan termiskin di Malaysia meliputi pendapatan isi rumah bawah RM1,196 dapat dibasmi oleh kerajaan dalam Belanjawan Malaysia Madani 2023. Namun, usaha tersebut mendapat pelbagai reaksi khususnya pihak pembangkang di Dewan Rakyat yang merendah-rendahkan usaha tersebut. Hasbie yang baru dilantik sebagai Ahli Dewan Negara menjawab tohmahan tersebut ketika berbahas Belanjawan 2023 di Parlimen minggu lalu. Kata Hasbie, usaha kerajaan Perpaduan dianggap mustahil oleh sesetengah pihak sedang dalam sirah Islam telah membuktikan bahawa adanya khalifah yang berjaya membuat pemerintahannya tidak punya fakir dan miskin untuk menerima zakat.

Dalam masa yang sama, Hasbie yang merupakan anggota kepimpinan Angkatan Pemuda Harapan Malaysia menjelaskan bahawa rakyat dipermainkan oleh omokan pihak tertentu tentang larangan kerajaan melibatkan pengeluaran simpanan KWSP, namun hakikatnya beliau menambah bahawa ada 13 syarat atau cara lain yang boleh digunakan untuk mengeluarkan simpanan KWSP melibatkan Akaun 2 meliputi pembelian rumah, pendidikan dan pelaksanaan Haji. Maka beliau mahu kerajaan memperkasakan penerangan kepada masyarakat akan adanya jalan lain untuk meringankan beban rakyat melalui penggunaan simpanan KWSP dengan syarat ia hanya digunakan untuk 13 item yang disenaraikan oleh KWSP.

Selain itu, bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu menyeru semua pimpinan kerajaan negeri bersikap profesional dan saling menghormati semangat federalisme yang wujud dalam perlembagaan negara memandangkan ia mampu melumpuhkan pembangunan negeri masing-masing jika ia tidak dihormati. Kata beliau lagi, biarlah soalan tohmahan politik, dijawab dan diselesaikan oleh aktivis parti mahupun pasukan media parti masing-masing. Manakala pimpinan negeri menumpukan usaha kearah membangunkan negeri tanpa menjejaskan hubungan antara persekutuan dan negeri. – Selangor Today

Exit mobile version